FOLLOWERS

Sunday 28 December 2008

PENCEGAHAN JENAYAH BERKONSEPKAN ' COMUNITY-ORIENTED POLICING "

1. PENDAHULUAN

Malaysia kini mengalami transformasi pembangunan dan pemodenan pesat yang mana ianya turut memberi implikasi kepada perubahan ekonomi, kawalan sosial dan pemikiran masyarakatnya. Ketidakseimbangan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat antara faktor yang turut mempengaruhi peningkatan kes-kes jenayah di negara ini. Kajian statistik menunjukkan peningkatan ketara jenayah indeks negara sejak tahun 1996. Pada tahun 1996 sebanyak 87,902 kes jenayah indeks dicatatkan berbanding tahun 2006 sebanyak 198,622 kes jenayah indeks dicatatkan bagi seluruh Malaysia. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 110,720 kes atau 12.6 % peningkatan kes bagi purata setahunan. Constraints ini mempengaruhi transmisi perubahan sikap masyarakat tentang peranan mereka dalam pencegahan jenayah. Ke arah itu, pihak Polis perlu membentuk satu mekanisme yang akan mendorong dan meransang masyarakat untuk turut sama memainkan peranan dalam mencegah jenayah.

Kajian membuktikan bahawa pencegahan jenayah merupakan satu mekanisme yang komprehensif dan merupakan momentum untuk membendung serta menghalang dari berlakunya kejadian jenayah. Menerusi kaedah ini, pihak Polis dapat mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan peranan yang boleh dimainkan oleh mereka serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mengekang kes jenayah dari berlaku. Keberkesanan program pencegahan jenayah ini dapat merealisasikan ’autopia’ masyarakat untuk hidup dalam keadaan selamat dan tenteraman serta mampu mengawal tahap ’fear of crime’ masyarakat.

Konsep ’community-oriented policing’ diketengahkan untuk diaplikasi dan diadaptasi sebagai pemacu dalam usaha mencapai kelestarian keselamatan secara maksimum melalui penglibatan masyarakat. Menerusi ’community-oriented policing’ masyarakat dapat bersama-sama pihak Polis dalam merangka strategi, dasar dan pelaksanaan program pencegahan. Konsep ini terbukti dapat membendung dari berlakunya kes jenayah seperti yang dikupas oleh Robert Trojannowicz (1990). Keberkesanan dalam pelaksanaan konsep ini turut diaplikasikan oleh Jabatan Polis di negara luar seperti ’Neighbourhood Watch’ di Australia, ’Base Team Policing’ di Kanada, sistem ’Koban’ di Jepun, Sistem Pembinaan Dan Ketertiban Masyarakat di Indonesia dan ’Neighbourhood Police Force’ di Singapura.

Kepentingan dalam mewujudkan kerjasama ini turut dihuraikan oleh Perdana Menteri Malaysia menerusi petikan ucapan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia ke 9, 2006-2010 di Dewan Rakyat pada 31 MAC 2006; ”Keselamatan negara dan ketenteraman awam sangat mempengaruhi iklim politik dan iklim ekonomi. Negara yang bebas daripada ancaman dalam dan luar dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan menjamin kestabilan politik. Kadar jenayah di dalam negara akan ditangani dengan berkesan………Di samping peranan utama anggota tentera dan pasukan Polis, seluruh warga diseru bersama membantu menjamin kestabilan sebuah negara Malaysia yang kukuh bersatu -teguh berpadu. Pihak media, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan serta orang perseorangan perlulah prihatin akan isu-isu sensitif berhubung agama,kaum, budaya dan bahasa; serta tidak juga mencetus isu sensasi yang boleh menjejas ketenteraman awam dan keselamatan negara.”


2. DEFINASI JENAYAH, PENCEGAHAN JENAYAH DAN
’COMMUNITY-ORIENTED POLICING’

Sebelum penerangan lanjut berkaitan pelaksanaan ’Community-Oriented Policing’ dihuraikan, kupasan berkaitan definasi jenayah, pencegahan jenayah dan ’community-oriented policing’ diketengahkan untuk pemahaman dan pengetahuan.

Paul Tappan (1960) mendefinasikan jenayah sebagai niat melakukan pelanggaran undang-undang jenayah yang dilakukan tanpa pertahanan atau justifikasi dan keizinan dari kerajaan atas tindakan jenayah yang dilakukan (an intentional act or omission in violation of criminal law committed without defence or justification and sanctioned by the state for punishment as a felony or a misdemeanour). Seksyen 2 Kanun Prosedur Jenayah pula mentakrifkan kesalahan jenayah sebagai sebarang perbuatan atau ketinggalan yang boleh dihukum oleh sebarang undang-undang yang sedang berkuatkuasa (any act or omission made punishable by any law for the time being enforced)

Steven Lab (1992) mendefinasikan pencegahan jenayah sebagai ‘sebarang tindakan yang dirancang bagi mengurangkan tahap jenayah yang sebenar atau mengurangkan perasaan takut terhadap jenayah ( ‘Crime prevention entails any action designed to reduce the actual level of crime and or the perceived fear of crime’). Menurut Edward Eldefonso (1983) pula, pencegahan jenayah adalah satu langkah yang diambil sebelum sesuatu jenayah itu berjaya dilaksanakan bagi tujuan menghalang perbuatan tersebut.

Terdapat banyak teori dan pengertian mengenai ‘Community-Oriented Policing’ di antaranya Stevens (2002) - “A Preventive Approach Through An Empowered Problem-Solving Partnership Of Police And Community To Control Crime, Reduce The Fear Of Crime And Enhance Lifestyle Experiences Of All Community Constituence”. Ortmeir (2002) - “A Philosophy And A Strategy Which Promotes Community Engagement, Participation, And Problem Solving, Action Which Leads To The Discovery And Implementation Of Solutions To Community Problem”. Berdasarkan kedua-dua kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Polis dan masyarakat perlu bekerjasama dalam menangani sebarang isu atau kecelaruan sosial yang berlaku dalam masyarakat.


3. METODOLOGI PELAKSANAAN

Polis Diraja Malaysia komited untuk memastikan keberkesanan ’Community-Oriented Policing’ di mana elemen ini digarap dalam salah satu teras utama Pelan Strategik 5 Tahun PDRM (2007–2011) iaitu Menangani Masalah Peningkatan Jenayah Dan Kebimbangan Masyarakat Tentang Jenayah. Antara indikator yang perlu diimplementasikan ialah Melaksanakan Program ’Community Policing’ Secara Agresif.

Aspirasi untuk melaksanakan konsep ini adalah berteraskan kajian bahawa penjenayah dan moral saling berkait rapat antara satu sama lain. Sesetengah perlakuan jahat manusia boleh dikategorikan sebagai perbuatan jenayah dan pada waktu yang sama dapat dilihat sebagai perbuatan tidak bermoral. Undang-undang jenayah memberikan perhatian kepada aspek luaran (External) manakala moral lebih menitikberatkan aspek dalaman (Internal). Tosun mendefinasikan penglibatan komuniti sebagai ’satu bentuk tindakan sukarela yang melaluinya individu mengambil peluang dan memikul tanggungjawab kemasyarakatan ( Tosun 2000:614).

Metodologi pelaksanaan ’Community-Oriented Policing’ ini merupakan satu tindakan proaktif di mana pelan dan mekanisme tindakan pencegahan ”defensible space” dilaksanakan sebagai usaha mengekang dan mencegah dari berlakunya kes jenayah. Tindakan proaktif ini melibatkan dua pihak iaitu Polis yang menyediakan perkhidmatan seperti bit, rondaan sektor, patrol, MPV, ’omnipresence’ dan sebagainya manakala masyarakat pula melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti pemasangan ”surveillance gadgets’ di premis perniagaan, rumah dan harta benda.

YDH Tan Sri Musa Bin Hj Hassan, Ketua Polis Negara telah mengeluarkan Arahan Bil 67 bertarikh 4 Julai 2007 mengariskan 3 tindakan iaitu;

i) Mengadakan program-program pencegahan jenayah dirancang secara berkala dengan melibatkan NGO’s dan Persatuan-Persatuan Perniaga dan Persatuan-Persatuan Penduduk

ii) Memantapkan dan melaksanakan ’Community-Oriented Policing’ dan ’Smart Partnership’ dengan menggalakkan kerjasama dan pembabitan semua lapisan masyarakat.

iii) Memantapkan dan mempertingkatkan ’Delivery System’ serta mengambil langkah ke arah mengurangkan karenah birokrasi agar masyarakat mendapat manafaat dan kepuasan bila berurusan dengan pihak Polis. Dengan langkah-langkah yang diambil ini bukan sahaja Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepati ke arah mencapai ”Community-Oriented Policing’ tetapi dapat juga memberi keyakinan rakyat terhadap pihak PDRM sebagai sebuat penguatkuasa terulung di Negara ini. Di samping itu juga diharap ’Risikan Maklumat ( Intelligence Procurement ) dapat diperolehi dari masyarakat.

Sebagai usaha merealisasikan pelaksanaan ’Community-Oriented Policing’ mencapai objektifnya maka, dicadangkan agar pendekatan V A R I dilaksanakan. V A R I bermaksud;

V ( Visibility ) - Menempatkan anggota-anggota Polis di tempat-tempat yang kerap berlaku jenayah

A ( Accessibility )- Memudahkan masyarakat mendapat perkhhidmatan Polis tanpa banyak birokrasi

R ( Response) - Mempercepatkan tindakan Polis dalam menangani sesuatu isu

I ( Intelligence ) - Memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak Polis

Pencegahan Jenayah berkonsepkan ’Community-Oriented Policing’ telah lama dilaksanakan seperti ’Sistem Salleh’, Rakan Cop, C4I, Skim Pengawasan Kejiranan, Kadet Polis, Kor Sukarelawan Siswa Dan Siswi ( KOR SUKSIS ) dan Sukarelawan Polis ( SPDRM ). Namun pelaksanaan ’Community-Oriented Policing’ perlu diperluaskan dengan melibatkan kerjasama dari badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s), Persatuan-persatuan Peniaga / Pekilang, Bank, Persatuan-persatuan Penduduk dan lain-lain agensi kerajaan yang boleh membantu pelaksanaan aspek pencegahan jenayah dari akar umbi.

Berikut adalah konsep ’Community-Oriented Policing’ yang dinyatakan sebelum ini.

3.1 SISTEM SALLEH

Berdasarkan sejarah ’Community-Oriented Policing’ ini telah diimplementasikan oleh Polis Diraja Malaysia pada bulan Februari, 1968 menerusi ’Sistem Salleh’ yang dilaksanakan pada peringkat awal di Petaling Jaya. Kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan ’Sistem Salleh’ ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan tersebut. Ketua Polis Negara ketika itu Tuan Salleh Ismail mengarahkan agar sistem ini diadaptasi dan dilaksanakan di semua kontinjen.

Menerusi ’Sistem Salleh’, pegawai dan anggota Polis dilatih supaya lebih bertanggungjawab dan imej yang diketengahkan dapat diterima oleh masyarakat. Sistem ini memperlihatkan bahawa Polis bukan sekadar dilihat sebagai pengutkuasa tetapi juga sebagai sahabat. Hubungan dan ekspektasi masyarakat terhadap pihak Polis ini turut diperjelaskan oleh Elmer H. Johson yang menyifatkan penugasan Polis sebagai ’guardian of society’, ’peace-keeper’ merangkumi pelbagai aspek perkhidmatan kepada masyarakat ; ”Charged with preserving order in the community, the policeman as a peace-keeper is required to perform a variety of tasks, from enforcing traffic regulations, through settling of a family dispute, to leadiang with a large-sacle roit ”

Kaedah dan pelaksanaan dalam ’Sistem Salleh’ merupakan satu teras yang boleh diaplikasi dalam melaksanakan konsep ’Community-Oriented Policing’. ’Sistem Salleh’ dilaksanakan berdasarkan 5 objektif iaitu;

a) Memupuk perasaan percaya orang ramai melalui kaedah bit di mana Polis dapat dilihat di jalan-jalan raya
b) Memberi bantuan dengan segera kepada orang ramai setelah mendapat maklumat dan aduan
c) Memudahkan proses penyaluran maklumat dengan memperkemas dan memperbaiki aliran maklumat
d) Menyediakan satu sistem yang menarik dengan tujuan melindungi atau mengurangkan bit dan kemalangan jalanraya
e) Menanam semangat kepada pegawai-pegawai Polis berhubung dengan tugas-tugas mereka dengan cara menyatukan pengetahuan-pengetahuan yang ada

Menerusi 5 objektif ini, pegawai dan anggota Polis diberi tanggungjawab untuk mengendalikan dan memantau kawasan-kawasan yang telah dikategorikan seperti sektor. Pegawai dan anggota Polis ini turut ditempatkan di kawasan sektor tersebut di mana mereka bertanggungjawab mengkaji dan menjalinkan hubungan mesra dengan penduduk untuk mewujudkan keyakinan masyarakat terhadap mereka. Secara tidak langsung, pemahaman dan pengetahuan mengenai kawasan ini dapat mempertingkatkan lagi kecekapan Pegawai dan anggota untuk memastikan keselamatan setempat. Keberkesanan ’Sistem Salleh’ dalam mengekang, mengawal dan membasmi jenayah telah mendapat pengiktirafan Tun Abd. Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Hal Ehwal dalam Negeri pada tahun 1968. ’Sistem Salleh’ ini juga berjaya mewujudkan satu situasi di mana orang ramai tidak lagi menganggap Polis sebagai satu institusi yang ditakuti malah, sebagai sahabat yang dapat memberi bantuan apabila diperlukan. Resolusi dari pelaksanaan ’Sistem Salleh’ ini membuktikan bahawa melalui kerjasama masyarakat membolehkan pihak Polis mengawal dan membendung kes-kes jenayah dari berlaku. Oleh yang demikian, pelaksanaan ’Community-Oriented Policing’ dalam mencegah jenayah merupakan satu konsep yang perlu diimplementasi sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia.

3.2 RAKAN COP DAN C4I

Dalam arus kepolisan moden kini, Polis Diraja Malaysia berusaha mengintegrasikan aspek kepolisan masyarakat dan teknologi terkini dalam usaha membendung dari berlakunya kes jenayah. ’Rakan Cop’ yang diperkenalkan pada 9 Ogos 2004 sebagai contoh merupakan salah satu ’Community-Oriented Policing’ di mana ianya diilhamkan atas kesedaran bahawa pihak Polis adalah elemen pelengkap kepada sesebuah masyarakat yang aman dan harmoni. Pendekatan ’Rakan Cop’ adalah untuk membentuk interaksi dua hala di antara Polis dan masyarakat serta menggalakkan pembabitan orang ramai dalam penyaluran maklumat. Signifikasi kepada konsep ’Rakan Cop’ ini turut memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mencegah jenayah dan keselamatan jalanraya. Keberkesanan ’Rakan Cop’ ini mendapat maklumbalas yang baik dari masyarakat di mana sejak dilancarkan sehingga 3 DIS 2007 seramai menjadi 176,481 orang ahli Rakan Cop dan sebanyak 405,888 maklumat disampaikan kepada pihak Polis.

Dalam usaha memperkukuhkan kawalan jenayah, ’Rakan Cop’ ini digabungkan dengan sistem C4I iaitu Arahan dan Kawalan, Sistem Komunikasi dan Integrasi Komputer. Kedua-dua sistem ini menekankan aspek kerjasama di antara Polis dengan masyarakat di mana tindakan awal bermula dengan maklumat yang disampaikan oleh masyarakat dan respond serta tindakan balas yang diberikan oleh pihak Polis. Sejak kedua-dua sistem ini diperkenalkan terdapat pengurangan ketara dalam kes-kes rompakan dan ragut khasnya di Kuala Lumpur.

3.3 SKIM PENGAWASAN KEJIRANAN

Selain ’Rakan Cop’ dan C4I, pelaksanaan ’Community-Oriented Policing’ turut digarapkan dalam ’Skim Pengawasan Kejiranan’. ’Skim Pengawasan Kejiranan’ ini dibentuk untuk menyemai semangat kejiranan dalam membendung jenayah di kawasan tempat tinggal. Pendekatan dalam ’Skim Pengawasan Kejiranan’ adalah mudah di mana masyarakat bertindak sebagai ’mata dan telinga’ kepada pihak Polis dalam mengawasi serta melaporkan sebarang insiden yang melibatkan keselamatan jiran mereka. Antara perkara yang boleh disampaikan oleh masyarakat ialah cubaan pecah masuk rumah jiran, kes penderaan dan sebagainya. Skim ini tidak memerlukan ahlinya untuk menjalankan rondaan tetapi sekadar bertindak mengawasi keselamatan kejiranan di kawasan tersebut.

Sekiranya diteliti, ’Skim Pengawasan Kejiranan’ ini meletakkan ahli masyarakat itu sendiri sebagai peranan utama dalam mengawasi, memantau dan menjaga keselamatan di dalam kawasan di mana mereka tinggal. Pihak Polis hanya sebagai unit sokongan dalam memberi bantuan sekiranya diperlukan. ’Skim Pengawasan Kejiranan’ ini membuktikan bahawa keselamatan dan ketenteraman awam dapat direalisasikan menerusi kerjasama masyarakat. Elemen ini turut ditegaskan oleh Mary Jeanette Hareman (1980); ’There is a direct correlation between citizen’s willingness to report violation, to testify voluntarily as witnesses, and the police agency ’s operation, since citizen assistance is crucial to law enforcement agencies if the police are to resolve an appreciate proportion of the crimes that are committed.’
3.4 KADET POLIS DAN KOR SUKSIS

Saya juga menyarankan agar pendekatan teori ’Broken Windows’ oleh James Q. Wilson and George L. Kelling iaitu ”Consider a building with a few broken windows. If the windows are not repaired, the tendency is for vandals to break a few more windows. Eventually, they may even break into the building, and if it's unoccupied, perhaps become squatters or light fires inside.”. Menurut teori ini, strategi yang terbaik untuk mencegah sesuatu jenayah ialah untuk menyelesaikannya ketika ia masih kecil. Berdasarkan teori tersebut maka, Kadet Polis dan Kor Suksis perlu diwancanakan selari dengan pelaksanaan pencegahan jenayah melalui konsep ‘Community-Oriented Policing’.

Kadet Polis telah lama ditubuhkan di peringkat sekolah di mana kewujudannya selaras dengan peruntukkan Seksyen 68 Akta Polis 1967. Penubuhannya telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu kegiatan ko-kurikulum Sekolah Menengah sebagaimana yang ditakrif dalam Akta Pelajaran 1961, P.K (A) 487 bertarikh 20 NOV 1969. Kadet Polis ini ditubuhkan bertujuan untuk membentuk sahsiah, rohani dan moral remaja yang berdisiplin dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Selain itu, ahli-ahli Kadet Polis diberi pendedahan tentang peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam menangani masalah jenayah dan sosial khasnya yang berlaku di peringkat sekolah.

Ahli-ahli Kadet Polis diberi pendedahan dan pengetahuan tentang aspek peningkatan rohani, jasmani, kognitif dan psikomotor yang akhirnya dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Menerusi kaedah ini, ahli-ahli kadet akan menjadi masyarakat yang berketerampilan serta dapat memainkan peranan aktif untuk bersama-sama pihak Polis dalam menangani masalah jenayah dan sosial semasa mereka dewasa.

Kesinambungan dalam peranan serta semangat yang wujud dalam Kadet Polis di peringkat Sekolah Menengah telah diperluaskan ke peringkat Intitusi Pengajian Tinggi Awam di mana Kor Sukarelawan Siswa / Siswi ( KOR SUKSIS ) ditubuhkan pada tahun 2004. KOR SUKSIS ini diwujudkan sebagai medium dalam melahirkan siswa dan siswi yang bakal menyambung tugas kepolisan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam pada masa. Selain itu, KOR SUKSIS ini dilihat sebagai momentum untuk menggalakkan kerjasama masyarakat khasnya siswa dan siswi untuk bersama-sama Polis dalam usaha mencegah jenayah.

Signifikan kepada kewujudan Kadet Polis dan KOR SUKSIS merupakan satu pengerak dalam pembentukkan masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan mereka untuk membendung kes-kes jenayah.

3.5 INTER-AGENCY CO-OPERATION

Dalam usaha merealisasikan pencegahan jenayah melalui konsep ‘Community-Oriented Policing’ , Polis Diraja Malaysia perlu mendapatkan sokongan dan kerjasama padu dari kerajaan, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s), persatuan-persatuan perkilangan, penduduk, Rukun Tetangga dan sebagainya. Dengan menggunakan kepakaran, teknologi, peralatan dan sebagainya yang dimiliki oleh agensi-agensi, persatuan dan NGO’s, pihak Polis dapat menggerakkannya ke arah merealisasikan pencegahan jenayah dengan lebih berkesan.

Salah satu mekanisme yang boleh digunakan oleh Polis Diraja Malaysia ialah menggunakan khidmat Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dalam operasi-operasi cegah jenayah. RELA ditubuhkan semasa konfrontasi di antara Malaysia dan Indonesia di mana anggota RELA ditugaskan untuk memantau sebarang bentuk pencerobohan oleh angkatan bersenjata Indonesia. Berfungsi di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, RELA masih lagi bergiat aktif pada hari ini terutama di kawasan luar bandar dan seringkali terlibat dalam operasi-operasi Polis untuk mengesan dan menghalang kemasukan pendatang tanpa izin serta mencegah kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan. Dengan jumlah kekuatan RELA seramai 494,145 orang (sehingga 31 OKT 2007) pihak Polis mampu mengimplementasikan pencegahan jenayah lebih sistematik dan berkesan.

Pencegahan jenayah menerusi konsep ‘Community-Oriented Policing’ juga boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan bantuan Rukun Tetangga (RT) yang kini berjumlah 3,780 kawasan dengan keahlian seramai 408,509 ahli. Menerusi jalinan kerjasama di antara Polis dan Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional , Rukun Tetangga boleh digembeling untuk membantu dalam usaha mencegah jenayah sehingga ke peringkat akar umbi. Ahli-ahli Rukun Tetangga terdiri dari masyarakat yang mampu membentuk perisai dalam menangani isu-isu sosial dan jenayah setempat.

Selain Rukun Tetangga dan RELA, Polis Diraja Malaysia juga menjalinkan kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung / Bandar ( JKKK / JKKB ) yang berperanan untuk memastikan keselamatan di kawasan mereka. Menerusi pendekatan ‘Smart-Partnership’, Polis Diraja Malaysia perlu menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Imigresen dalam menangani kes-kes pendatang haram dan pengesahan pasport, Jabatan Penerangan untuk memberi kesedaran dan pendidikan tentang peranan dan tanggungjawab masyarakat dalam mencegah jenayah, Kementerian Pendidikan dalam menangani masalah sosial di kalangan pelajar dan sebagainya.

3.7 PSIKOLOGI

Huraian di atas jelas menunjukkan bahawa masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam. Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia perlu membentuk mekanisme yang dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan dan tanggungjawab mereka. Pendekatan perlulah bersifat psikologi yang mampu mendorong masyarakat untuk turut sama memainkan peranan dalam pencegahan jenayah. Kempen-kempen, dialog, perjumpaan, seminar, penglibatan Polis dalam aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya perlu dipergiatkan dan dipertingkatkan dalam usaha mewujudkan perhubungan erat di antara Polis dan masyarakat. Untuk memastikan kualiti perkhidmatan terbaik maka, pihak Polis perlu memahami masyarakatnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Sir Robert Peel ( 1829 ); ‘ ….in tune with the people, understanding the people, and drawing its strenght from the people …..’

3.8 PENUTUP

Usaha mencegah jenayah akan dapat direalisasikan apabila bidang kepolisan menjadi bidang yang berorientasikan masyarakat atau lebih dikenali sebagai ‘Community-Oriented Policing’. Menerusi konsep ini masyarakat turut sama memainkan peranan dalam menentukan strategi dan terlibat secara langsung dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman di kawasan mereka. Sir Robert Peel ( 1829 ) menegaskan bahawa pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui ‘Community-Oriented Policing’ di mana Polis dan masyarakat bekerjasama sebagai satu unit ‘… the police are the public and the public are the police…’. Secara tidak langsung, situasi ini akan memberi kesan kepada kawalan dan penurunan kes jenayah di Malaysia.


1 comment:

  1. Salam.. boleh tak saya dapatkan sumber rujukan penulis mengenai isu ini.. terima kasih

    ReplyDelete

PETA PELAYAR