FOLLOWERS

Wednesday 25 March 2009

PENGURUSAN BENCANA : KESIAPSIAGAAN MENGHADAPI BANJIR : DSP Shaikh Abdul Adzis b. Shaikh Abdullah




Nota : Kawan lama mengirimkan artikel ini untuk disiarkan di dalam blog Penghuni Gua. Mungkin berguna kepada semua.


PENGURUSAN BENCANA : KESIAPSIAGAAN MENGHADAPI BANJIR
DSP Shaikh Abdul Adzis b. Shaikh Abdullah 2004

PENDAHULUAN

Krisis adalah suatu masalah global yang boleh berlaku dimana-mana pada bila-bila masa tanpa dapat dijangka. Jika sesuatu krisis gagal ditangani dengan efektif dan sistematik ianya boleh mencetuskan suatu impak terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. Pengurusan krisis yang efektif memerlukan komitmen yang menyeluruh dari semua pihak yang terlibat di setiap peringkat.

Tanggungjawab polis di dalam apa-apa jua kejadian bencana/krisis adalah untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda, mengekalkan undang-undang dan peraturan. Seterusnya memberi apa juga bentuk bantuan dan keperluan kepada Jawatankuasa bantuan bencana/krisis.

OBJEKTIF KAJIAN

Objekif kajian ini antara lain:-

· Memastikan perlaksanaan serta pelan tindakan oleh Polis Di Raja Malaysia dan agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan krisis (bencana) berdasarkan garis panduan MKN No. 20.
· Mengenalpasti punca kegagalan dalam pengurusan krisis bencana.
· Mengemukakan syor penambahbaikan pengurusan krisis bencana.

DEFINISI PENGURUSAN KRISIS

Wujud beberapa takrif yang berbeza mengenai definisi krisis. Ianya bergantung kepada jenis dan bentuk situasi serta respon yang perlu diambil.

Holsti, K.J. (1986) mentakrifkan “A crisis can be defined as any unplanned event, occurence or sequence of events that has a specific undesirable consequences” Hermann, C. (1972) pula mendefinasikan konflik sebagai “ a crisis is a situation that (i) threatens high priority goals of the decision making unit, (ii) restricts the amount of time available for reponse before the decision is transformed, and (iii) suprise the members of the decision making unit by its occurence”

Davies (1977) pula menyatakan “konflik merupakan warisan kehidupan sosial yang boleh berlaku dalam pelbagai keadaan akibat daripada berbangkitnya keadaan ketidaksetujuan, kontroversi dan pertentangan di antara dua atau lebih pihak secara berterusan”.

Pearson (1997) mentakrifkan “ Crisis management is a mindset and process that, on daily basis, drives and organization’s decision and actions. The goal of crisis management is to help organizations avert crisis or more effectively managed those that do occur. To achieve this goal the organization’s senior executives must actively endorse and participate in crisis management efforts even prior to signals of an impending crisis”

PUNCA KRISIS

Terdapat beberapa punca yang dikenalpasti boleh mencetuskan krisis, punca-punca ini jika gagal ditangani akan menyebabkan berlakunya konflik.

(a) Persaingan sumber yang terhad

Di dalam sesabuah organisasi sering berlaku persaingan untuk mendapatkan pengagihan sumber-sumber seperti jawatan, kewangan, kelengkapan pejabat dan kelengkpan peribadi bagi memenuhi kehendak jabatan masing-masing. Namun sumber-sumber tersebut adalah terhad. Akibatnya berlaku ketidakpuasan hati dan ketidakadilan dalam pengagihan sumber tersebut apabila masing-masing mengutamakan kepentingan sendiri dari mencapai matlamat operasi keseluruhannya.

(b) Persandaran Tugas

Persandaran tugas memerlukan individu atau unit lain untuk membantu menyelesaikan sesuatu tugas yang memerlukan kerjasama dan persefahaman antara pihak-pihak terlib. Kerjasama tersebut diperlukan untuk mendapatkan hasil kerja yang lebih efektif dan berkualiti. Apabila kerjasama yang diharapkan tidak seperti yang dikehendaki oleh pihak yang berkerjasama ia mungkin melahirkan rasa tidak puas hati. Pergolakan konflik antara pihak-pihak tersebut menjejaskan kerjasama dimasa hadapan dan ini merugikan organisasi.

(c) Ketidakjelasan Tanggungjawab dan Kuasa

Dalam organisasi terdapat petugas yang masih samar dalam menjalankan tugasnya dan mengharapkan orang lain melakukan tugas tersebut. Apabila timbul masalah dalam penyelesaian tugas, pergeseran antara petugas akan berlaku. Ketidakjelasan tanggungjawab antara petugas akan menyebabkan kegagalan pencapian sesuatu matlamat. Selain itu wujud juga konflik dalam pemusatan dan pembahagian kuasa antara jabatan. Pemusatan kuasa bermaksud individu yang diberi kuasa (authority) membuat keputusan untuk semua jabatan.

(d) Kekurangan Maklumat

Masalah kekurangan maklumat selalu terjadi dalam sesebuah organisasi. Ini kerana komunikasi yang lemah antara jabatan atau individu yang gagal menguruskan maklumat tersebut. Pengurusan maklumat yang lemah menjejaskan mutu kerja dan akhirnya gagal mencapai matlamat yang di tetapkan. Apabila berlaku kegagalan tersebut konflik yang telah pun terjadi akan menjadi lebih buruk dalam hubungan antara jabatan.

(e) Matlamat Yang Berbeza

Kebiasaannya berlaku perbezaan matlamat di antara jabatan kerana organisasi tertentu mempunyai agenda tersendiri. Konflik juga boleh berlaku di antara individu dan kumpulan. Perbezaan tersebut berlaku kerana latarbelakang dan pemikiran yang berbeza antara petugas.

STRATEGI MENGATASI KONFLIK

Terdapat lima strategi atau teknik yang boleh digunakan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku sebagaimana model berikut
Rujukan: www.intanbk.my

(a) Strategi Persaingan

Strategi persaingan selalunya digunakan untuk mengalahkan pihak lawan dan ia mewujudkan situasi menang kalah kerana kedua-dua pihak yang berkonflik bersaing untuk mencapai matlamat masing-masing. Keadaan ini berlaku dalam kumpulan yang kurang mementingkan perpaduan dan lebih mengutamakan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.

(b) Strategi Pengelakan

Isu-isu konflik dipendamkan atau tidak diendahkan buat sementara waktu untuk mengumpulkan maklumat dan menganalisis masalah yang berlaku. Ahli kumpulan cuba mengelak tercetusnya perbalahan kerana perpaduan pasukan yang rendah dan keinginan untuk mencapai matlamat adalah rendah.

(c) Strategi Kompromi

Strategi kompromi menggunakan teknik arbitrasi (rundingan dan tawar menawar). Strategi ini memberi faedah kepada kedua-dua pihak yang berkonflik daripada penyelesaian yang dilakukan. Kedua-dua pihak terpaksa mengorbankan kepentingan masing-masing untuk menerima faedah bersama yang telah dipersetujui. Kebiasaannya teknik ini melalui proses penyelesaian dengan melibatkan orang ketiga (mediator yang menjadi kepercayaan kedua-dua pihak).

(d) Strategi Penyesuaian

Strategi penyesuaian biasanya bermatlamat untuk memelihara perhubungan dan kedudukan, ingin mendapatkan kerjasama dan menyelesaikan konflik dengan cepat. Sesetengah ahli kumpulan akan mengalah kepada pihak yang lebih dominan kerana keadaan perpaduan kumpulan yang tinggi. Teknik ini hanya memuaskan sebelah pihak sahaja dan lazimnya digunakan oleh pihak yang berkuasa.

(e) Strategi Pemuafakatan

Dalam teknik ini, kedua-dua pihak mencapai matlamat masing-masing dalam situasi menang-menang. Sikap bertolak ansur dan mementingkan pencapaian matlamat serta perpaduan pasukan menjadi keutamaan.

PENGURUSAN BENCANA

Bencana alam ditakrifkan sebagai suatu kejadian yang berlaku secara mengejut, dan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan kepada harta benda atau alam sekitar serta menjejaskan aktiviti masyarakat setempat. Kejadian ini memerlukan pengendalian sumber, peralatan, kelengkapan dan tenaga manusia daripada agensi-agensi serta enyelarasan yang berkesan.

ARAHAN BERKAITAN PENGURUSAN BENCANA

Dalam konteks pengurusan konflik bencana di Malaysia, satu arahan khusus berkaitan dengannya telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagaimana ARAHAN MKN No.20 ( Sila lihat Lampiran A). Tujuan Arahan ini ialah untuk menggariskan satu Dasar Pengurusan dan bantuan bencana di darat mengikut tahap bencana dan mewujudkan satu mekanisma pengurusan yang menentukan peranan serta tanggungjawab agensi-agensi yang terlibat semasa bertindak menangani sesuatu bencana yang berlaku.

Disamping itu juga pihak Majlis Tindakan Bencana Negara (MTBN) melalui “ Peraturan Tetap Operasi Bencana Banjir” turut menggariskan Sistem pengurusan bersepadu bagi menyelras tindakan bersama semua agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan sesuatu kejadian bencana. Tindakan bersama dalam mewujudkan hubungan yang harmoni dikalangan agensi-agensi terlibat untuk menangani serta memulihkan keadaan kembali kepada sediakala (normalcy).

Selari dengan PTKPN B 110 (Sila lihat Lampiran B) semua Pegawai Pemerintah hendaklah menyediakan Perintah Tetap Gerakan Banjir masing-masing mengikut kesesuaian tempat.

Amnya objektif umum pelan tindakan bencana yang dijalankan bertujuan:-

· Untuk menyelamatkan nyawa
· Mencegah bencana dari merebak
· Memberi bantuan dan pemulihan kepada mangsa
· Memelihara harta benda daripada kemusnahan
· Memelihara keadaan alam sekitar
· Memulih keadaan dengan secepat mungkin

BENCANA BANJIR

Fokus kajian tertumpu kepada bencana banjir yang sering melanda negara ini terutamanya dimusim tengkujuh. Akibatnya banyak kawasan-kawasan rendah ditenggelami air dan mengakibatkan kerosakan serta kemusnahan harta benda dan turut mengorbankan nyawa manusia. Banjir yang melanda Malaysia boleh dikategorikan kepada banjir kilat/ribut tropika dan banjir monsun. Banjir kilat biasanya berlaku di kawasan pembangunan yang tidak mempunyai sistem saliran yang mampu menanggung jumlah air yang banyak secara tiba-tiba. Banjir ini biasanya surut dalam masa yang singkat.

Banjir musim tengkujuh biasanya berlaku semasa angin monsun timur laut dari bulan November hingga Mac diikuti angin monsun peralihan dari bulan September hingga Oktober. Kawasan yang sering dilanda banjir ialah di pantai timur Semenanjung Malaysia, bahagian barat Sarawak serta pantai timur Sabah.

Bagi membantu mangsa banjir, maka kerjasama dan tindakan bersepadu dari agensi kerajaan, badan sukarela dan pihak swasta serta orang awam perlu digembelingkan dan diselaraskan. Sehubungan itu, Peraturan Tetap Operasi (PTO) dilaksanakan.

LANGKAH-LANGKAH AWAL PENCEGAHAN

Bagi menangani permasalahan banjir, langkah-langkah awal perlu diambil seperti berikut:-

· Langkah struktur yang melibatkan program seperti penebatan banjir, pembinaan empangan, menyalur sungai dan memperbaiki sistem saliran, meninggikan tebing sungai, membina benteng pemecah ombak, kolam takungan (retention ponds) dan lain-lain.

· Langkah bukan struktur melibatkan ramalan dan amaran banjir yang dibuat berdasarkan kepada maklumat kelebatan hujan dan aras air sungai.

· Bagi langkah pencegahan bukan struktur, Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia (PKM) perlu menyediakan ramalan angin dan kelebatan hujan serta amaran banjir bagi membuat persediaan dan memberi amaran awal kepada orang ramai.

PERSIAPAN LOGISTIK

Persiapan ke arah penyediaan bantuan logistik dan bantuan kebajikan perlu dibuat lebih awal lagi. Persediaan ini merangkumi perkara-perkara asas seperti

(a) Pusat pemindahan sementara (biasanya sekolah atau
dewan orang ramai.
(b) Penyediaan makan-minum serta pakaian
(c) Pemeriksaan kesihatan dari penyakit berjangkit
(d) Kemudahan pengangkutan seperti bot, enjin, minyak
dan jaket keselamatan
(e) lori tentera/polis bagi membantu membawa mangsa
banjir ke pusat pemindahan.

Disamping itu, pihak polis dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan maklumat banjir kepada orang awam bagi memberi nasihat kepada pengguna jalanraya mengenai banjir yang akan ditempuhi serta mencadangkan laluan alternatif.

PUSAT PEMINDAHAN

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipertanggungjawabkan bagi mengenalpasti pusat-pusat pemindahan banjir bagi memudahkan urusan pemindahan. Sekiranya bangunan-bangunan dikenalpasti itu adalah milik persendirian atau di bawah tanggungjawab agensi lain, maka kebenaran hendaklah terlebih dahulu perlu diperolehi. Bangunan mempunyai ruangan yang mencukupi dan selamat untuk digunakan.

Pihak polis dikehendaki mengawasi dan menentukan keselamatan mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kecurian dan pergaduhan merebut bantuan yang dihulurkan.

BILIK GERAKAN BANJIR POLIS

Bilik gerakan banjir (daerah) hendaklah mula digerakan sebaik sahaja menerima maklumat dari orang awam, anggota polis yang bertugas ataupun dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Maklumat-maklumat berikut perlu diperolehi untuk menjadi rujukan dan panduan lokasi bencana banjir, merangkumi perkra-perkara berikut:-

(a) Grid reference (GR)
(b) Nama bandar/bandar-bandar atau kampung yang terlibat
(c) Sukatan paras air sungai
(d) Jumlah kehilang nyawa (jika ada)
(e) Kerosakan hartabenda
(f) Pemindahan penduduk-penduduk
(g) Langkah-langkah pemindahan yang sedia ada atau yang akan
dilakukan
(h) Butir-butir pertolongan yang perlu (jika ada) dari luar, seperti
keanggotaan, dan bot-bot penyelamat.

Maklumat banjir ini perlu dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) dan seterusnya laporan ini hendaklah disalurkan ke Pusat Kawalan Malaysia (MCC). Laporan perkembangan banjir hendaklah dimajukan secara berkala sekurang-kurangnya dalam tempoh 4 jam sekali. Semasa berlakunya banjir, Ketua Polis Daerah (KPD) akan bertindak sebagai “Pegawai Medan” dan bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah (DO). Antara tugas-tugas KPD semasa operasi tersebut:

(a) Menyelaras tugas-tugas menyelamatkan mangsa banjir
(b) Mendapatkan bantuan logistik dari agensi-agensi berkaitan
(c) Menyediakan anggota yang secukupnya, dan
(d) Membentuk satu pasukan penyiasatan khas

PAPAN TANDA AMARAN BANJIR

JKR bertanggungjawab memasang papan tanda, kayu pancang amaran banjir di kampong-kampung dan jalan-jalan di bawah tanggungjawabnya yang sering dilanda banjir untuk panduan orang ramai.

AMARAN BANJIR

JPS, Pihak Berkuasa Air dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertanggungjawab untuk mempastikan semua sungai, parit utama, empangan, pam, ban sungai, ban pantai, struktur pengairan dan saliran yang di bawah jagaan masing-masing adalah dalam keadaaan baik. JPS juga bertanggungjawab mempastikan semua sistem telemetri, tolok sungai, siren amaran banjir, papan amaran banjir, alat komunikasi dan kenderaan adalah dalam keadaan yang baik. Semua laporan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh PKM dan laporan perubahan kedudukan aras air sungai oleh JPS hendaklah dimaklumkan kepada pihak-pihak berikut melalui mesin faksimili:
· Bilik Gerakan Bahagian Keselamatan Negara.

· Pusat Kawalan Malaysia (PDRM).

· Bilik Gerakan Pertahanan (DOR).
Nota: Diperingkat Negeri dan Daerah diwujudkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana
(Sila lihat Lampiran C dan D )

KEPERLUAN TENAGA KERJA

Semua agensi yang membantu dalam gerakan menangani banjir memastikan keperluan kakitangan mencukupi dan boleh ditugaskan pada bila-bila masa diperlukan untuk penugasan bantuan banjir.

PROGRAM KESEDARAN DAN KEPENDIDIKAN

Usaha dan program kesedaran, kependidikan, panduan dan nasihat tentang larangan dan bahaya banjir hendaklah dipertingkatkan. Panduan serta nasihat kepada orang ramai serta pihak yang terlibat tentang langkah-langkah menghadapi banjir hendaklah dijalankan oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran (melalui hebahan media) hendaklah digerakkan untuk penugasan ini.

ANALISA KAWASAN YANG BERISIKO

JPS, JKR, Jabatan Geosains dan Mineral dan MACRES perlu menjalankan kajian/analisa kawasan yang berisiko tinggi yang berkemungkinan akan dilanda banjir dan lain-lain bentuk bencana mungkin timbul akibat banjir. Ini akan membolehkan tindakan persediaan awal dapat diambil oleh pendiduk uyang terlibat samada berpindah ke tempat yang selamat atau lain-lain langkah bagi mengelakkan ancaman terhadap nyawa dan harta benda. Laporan kajian hendaklah dikemukakan kepada Urusetia JPBBN/JPBBD untuk dibawa ke mesyuarat persiapan menghadapi bencana.

KEGAGALAN DALAM PENGURUSAN BENCANA

Diantara kegagalan-kegagalan adalah seperti berikut:-

· Kegagalan dalam merancang
· Kegagalan mengendalikan keadaan
· Kegagalan untuk memahami bentuk kejadian
· Kegagalan untuk membuat keputusan berdasarkan fakta tanpa dipengaruhi emosi
· Kegagalan untuk menjangka perubahan
· Kegagalan untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan
· Kegagalan untuk menerima kritikan
· Kegagalan untu belajar dari kesilapan
· Kegagalan untuk berurusan dengan pihak media

Kebanyakan perancangan lebih menumpukan kepada isu-isu “emergency response” dan “preparedness” serta tidak memberikan tumpuan kepada usaha-usaha pemulihan dan pembaikan.Perancangan diatas kertas dan merujuk kepada pelan tindakan yang lepas(post-mortem) tidak diambilkira.Kebanyakan pegawai awam tidak mengetahui kandungan pelan tindakan atau membuat keputusan berdasarkan garis panduan yang ada.Perancangan dilihat sebagai penghasilan terakhir dan bukannya sebagai bahan rujukan dan asas kepada perbincangan dan perlaksanaan.

Kegagalan dalam merancang operasi berlaku kerana :-
· Kekurangan koordinasi
· Kekurangan objektif dasar
· Kegagalan mengenalpassti kesemua cadangan
· Ketidakhadiran kompenan organisasi dan pengurusan
· Tindakan yang bertangguh

Sebab-sebab kegagalan dalam pengurusan krisis:-

· Kegagalan untuk memahami prosidur/peraturan/arahan
· Tidak mematuhi prosidur/peraturan yang sedia ada
· Provokasi diantara pelaksana/perancang tindakan (emergency planners)
· Tidak memahami kepentingan “incubation”
· Kesilapanfahaman informasi
· Kegagalan mengenalpasti mangsa-mangsa yang terlibat
· Mengatasi kekurangan (under estimate constraint)
· Kegagalan menyediakan input-input teknikal
· Ketidakfahaman tentang penugasan
· Ketidaktentuan jangkamasa (time frame)
· Bajet yang lemah

Kegagalan dan cabaran dalam membuat keputusan

Tugas polis semakin komplek dan mencabar.Semua peringkat pegawai polis dikehendaki membuat keputusan secara menyeluruh keatas isu-isu dalam jangkamasa pendek dan kadangkala tidak mengetahui kesemua fakta yang ada. Keputusan sedemikian memungkinkan menyentuh persoalan undang-undang dalam masyarakat yang sentiasa bersedia mempersoalkan kewibawaan pasukan.

Dalam menguruskan bencana, kerjasama antara organisasi-organisasi (intra dan inter) amat diperlukan bagi menggelakan ketidakseragaman (uniformnity) dalam tindakan. Namun begitu kita dapati kerjasama sedemikian amat sukar untuk diwujudkan kerana terdapat halangan-halangan (limitation) yang dihadapi seperti kewujudan agenda yang berbeza serta kepentingan jabatan tertentu. Kegagalan dalam koordinasi salah satu punca kegagalan dalam pengurusan bencana adalah adalah kegagalan untuk menyelaraskan tanggungjawab kesemua jabatan yang terlibat.

“Crisis management requires some special skills and knowledge that can be acquired through the process of learning and experience.We must at all times prepared to face any eventuality by keeping ourselves abreast with up-to-date skills and knowledge on crisis management”(Tun Mohd.Hanif Omar,18 Jan.1987)

SYOR/CADANGAN

Kearah memantapkan pengurusan bencana adalah disyorkan beberapa cadangan seperti berikut:-

· Komander Operasi Bencana hendaklah menentukan garis-garis kasar yang dapat membantu perjalanan operasi bantuan bencana dan menyediakan asas-asasnya.
· Penyelarasan dan pengkhususan perkhidmatan harus diperjelaskan kepada anggota-anggota terlibat untuk mencapai matlamat operasi.
· Kebajikan anggota dan pihak yang terlibat dalam operasi perlu diberi perhatian dan penekanan serius.
· Perlu mendedahkan anggota serta pegawai dengan mengadakan latihan secara praktikal dan berterusan (physical move dan bukan di atas kertas sahaja)
· Peruntukan yang mencukupi serta bekalan peralatan yang bersesuaian dengan jenis bencana.
· Meningkatkan semangat setia-kawan (espirit de corp) dikalanganS para petugas.
· Melatih para petugas agar mempunyai daya ketahanan diri (mental dan fizikal) dalam menghadapi suasana tugas yang mencabar.
· Mengurangkan tekanan dari pihak atasan (keranah birokrasi) yang sering mengeluarkan arahan serta kenyataan (media) yang mengelirukan.
· Keselamatan anggota/para petugas perlu diberi keutamaan (priority).

PENUTUP

Setiap organisasi menghadapi konflik yang berlaku dalam urusan seharian, namun kekerapan dan punca timbulnya konflik perlu dititik beratkan demi menjayakan matlamat organisasi. Walaupun konflik sering dilihat meninggalkan kesan negatif namun ia juga memberi impak positif. Pengawalan konflik ke satu tahp tertentu dapat membantu meningkatkan persefahaman dan keberkesanan kumpulan dan organisasi. Oleh yang demikian, konflik yang berlaku perlu diatasi sebaik mungkin dengan mencari penyelesaian yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku.

Pengurusan bencana adalah satu kemestian yang perlu dinaikk tarafnya di negara ini. Kepentingan negara dan rakyat adalah lebih utama dan sepatutnya diberi keutamaan daripada karenah birokrasi sepertimana yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Sehubungan itu untuk memastikan semua tindakan yang diambil untuk menangani bencana harus difikir secara kolektif dan efektif.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR