FOLLOWERS

Tuesday 28 April 2009

Mahkamah Persekutuan tentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak


28 apr 2009

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawabkan untuk menentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama. Mahkamah Rayuan hari ini merujukkan kes hak penjagaan anak Shamala-Ridzwan ke Mahkamah Persekutuan bagi penentuan terhadap lima persoalan perlembagaan.


Mahkamah tertinggi itu perlu membuat penghakiman terhadap percanggahan antara undang-undang Islam dan sivil berkaitan penukaran agama dan hal ehwal keluarga dan juga Perlembagaan Persekutuan termasuk mengenai kesamaan dan kebebasan beragama.

Satu daripada persoalan itu ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan atau persetujuan bekas pasangannya, tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.

Pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak itu telah memberikan hak sama rata kepada ibu dan bapa dalam membesarkan dan penjagaan anak-anak mereka. Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Abdul Malik Ishak, sebulat suara membenarkan permohonan bagi perintah rujukan yang dikemukakan S Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan anak dengan suaminya yang telah memeluk agama Islam, Dr Jeyaganesh C.Mogarajah.

Shamala, 37, berkahwin dengan Jeyaganesh, 41, pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976. Pada 2002, empat tahun selepas berkahwin, Jeyaganesh memeluk agama Islam dan turut menukar agama anaknya Saktiwaran dan Theiviswaran, yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun, kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.


Shamala yang kini memperoleh hak penjagaan ke atas dua anak lelakinya itu juga diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaanya kepada kedua-dua anaknya itu atau memberi mereka makan babi. Disebalik diberikan hak lawatan setiap dua minggu oleh Mahkamah Tinggi Sivil kepada Jeyaganesh pada 2004, beliau mendakwa dirinya telah tidak bertemu dua anaknya itu sejak lima tahun lalu.



Permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada mahkamah dibuat dengan persetujuan Jeyaganesh yang nama Islamnya Muhammad Ridzwan Mogarajah, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Jawapan Mahkamah Persekutuan terhadap lima persoalan itu dijangka amat penting bagi jalan penyelesaian kepada pasangan yang terperangkap dalam situasi serupa. Lima persoalan berkenaan ialah:


1)Sama ada Seksyen 95 (b) Pentadbiran Undang-Undang Islam adalah ultra vires kepada Perkara 12 (4) (yang menyatakan tidak sepatutnya wujud sebarang diskriminasi terhadap mana-mana warganegara) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (bahawa semua orang adalah sama mengikut undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang samarata).


2)Sama ada Seksyen 95 (b) Pentadbiran Undang-Undang Islam, sebagai undang-undang negeri, dan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, tidak konsisten dengan undang-undang Persekutuan, iaitu, Seksyen 5 (1) Akta Penjagaan Kanak-Kanak dan dengan itu tidak sah.

3)Dalam konteks Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan (yang memberikan bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah mengenai hal ehwal agama Islam), di mana perintah hak penjagaan anak dibuat oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah Tinggi, atas asas bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian, sama ada terdapat bidang kuasa bagi mahkamah lain untuk mengeluarkan perintah yang bercanggah.

align="justify">


4) Sekiranya berlaku penukaran agama kanak-kanak daripada perkahwinan sivil kepada agama Islam sama ada oleh ibu atau bapa tanpa persetujuan ibu atau bapa yang tidak menukar agama, sama ada hak penyelesaian mengikut Bahagian II Perlembagaan Persekutuan ibu atau bapa bukan Islam boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi.


5)Sama ada dalam konteks Perkara 8, 11, 12 (4) dan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak kepada agama Islam sebaik sahaja kanak-kanak itu berdaftar dengan Pendaftar Muallaf (Majlis Agama Islam).

Sepasukan peguam yang diketuai Datuk CV Das mewakili Shamala manakala Muralee Menon mewakili Jeyaganesh dan Tan Sri Azmi Md Rais dan Zulkifli Che Yong mewakili Majlis Agama Islam. - Bernama

Penghuni Gua : Kita semua harus berdoa agar YAA para Hakim yang bijaksana dapat mengeluarkan penghakiman yang boleh memberikan keadilan kepada semua pihak. Semuga Islam dan akidah pemeluknya dalam kes ini serta anak-anak terpelihara akidahnya dan juga agar ibu dalam kes ini juga tidak memandang islam sebagai musuh mereka. Inilah keputusan yang amat sukar.


Semuga kita semua bersabar agar semua pihak beroleh kemenangan. Dengan lain perkataan kita semua rakyat Malaysia yang berbagai anutan agama serta pihak yang terlibat dalam kes ini, agar hadapilah masalah dan cabaran ini dengan tenang dan dengan penuh dada yang terbuka . Pepatah mengatakan :

" Masalah dan kesulitan itu adalah kehidupan. Tiada keduanya bermakna tiada kehidupan dan maknanya ".

" Perbezaan itu satu anugerah yang amat tinggi nilainya dalam kehidupan kita kerana ia menguji tahap pemikiran dan kepintaran kita sampai ke hadnya bagi mencari penyelesaian dalam memakmurkan dunia ini".

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR