FOLLOWERS

Monday 25 May 2009

KRISIS PERAK : PANDANGAN DR SIDDIQ AZANI UITM


May 25, 2009 • 10:08 am

1. Seperti yang telah dinyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, saya amat berterima kasih kepada mahkamah rayuan Istana Kehakiman Putrajaya kerana telah membuat satu keputusan yang tepat. Tiada keraguan lagi bahawa YB Dr.Zambry merupakan menteri besar yang sah dari segi undang-undang.

2. Mahkamah Rayuan juga bersetuju bahawa tiada undang-undang bertulis di negara ini yang meletakkan bagaimana Vote of no confidence itu mesti dilakukan. Oleh kerana tiada undang-undang sedemikian, mahkamah yang mempunyai kuasa menginterpretasi undang-undang boleh menggunakan budi bicara mereka dalam membuat keputusan.

3. Dalam kes Stephen Kalong Ninkan v Tun Abg Hj.Openg & Tawi Sli [1966], reason judgment yang dikeluarkan oleh hakim berbunyi “votes of no confidence hanya boleh dilakukan di dalam dewan.” Oleh kerana ia merupakan pendapat seorang hakim, tidak bermakna ia harus diambil sebagai undang-undang yang utuh atas sebab yang kukuh.

4. Apa yang berlaku sebenarnya dalam kes ini, hakim mendapati ada cubaan menipu oleh kerana Stephen disingkirkan oleh hanya kerana surat yang menyatakan hasrat tidak percaya majoriti ahli dewan. Walhal hakikat sabenarnya, semasa surat itu didakwa ditandatangani, dikatakan tidak semua ahli dewan hadir dan dikatakan juga sebenarnya yang hadir pada hari itu merupakan ahli dewan yang memihak kepada Tawi Sli sahaja dimana tiada kehadiran ahli yang menyokong Stephen pada hari tersebut.

5. Sidang dewan juga dijalankan selepas cuti dengan tergesa-gesa. Oleh itu jelas didapati bahawa ia merupakan satu cubaan menipu mahkamah. Hakim berasa berang dan oleh kerana itu beliau telah berkata “undi tidak percaya hanya boleh dilakukan di dalam dewan sahaja.” Justeru ia jelas menunjukkan pendapat hakim adalah bergantung kepada fakta sesuatu kes tersebut. Pendapat hakim akan disesuaikan dengan kehendak keadilan dalam kes tersebut. Dengan kata lain, hakim akan cuba melakukan apa sahaja demi membela nasib pihak teraniaya, tidak kira apa juga yang harus dikatakannya, asalkan hakim tersebut percaya pihak teraniaya itu tidak bersalah dan patut menang.

6. Dalam kes rayuan Zambry v Nizar [2009], hakim mahkamah rayuan sekali lagi bertindak betul kerana mempertimbangkan fakta kes dengan adil dan saksama. Sekali lagi hujah yang mengatakan jika Nizar percaya beliau masih Menteri Besar yang sah, mengapa beliau bertindak mengadap Sultan untuk membubarkan dewan negeri diterima hakim mahkamah rayuan. Tindakan Nizar mengadap DYMM Sultan Perak jelas menunjukkan bahawa beliau yakin beliau sudah hilang majoriti dan perlu baginya mengadap DYMM Sultan untuk meminta pembubaran dewan negeri, selaras dengan perkara 16(6) UTKNP dan artikel 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

7. Berkenaan dengan isu tiada Menteri Besar baru yang sah dilantik jika yang lama masih belum dipecat. Di sini Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim sekali lagi silap mentafsir undang-undang tersebut. Tidak wujud isu pemecatan Nizar kerana Nizar sudah pun hilang kelayakan sebagai Menteri Besar di saat DYMM Sultan Azlan tidak bersetuju membubarkan dewan negeri. Justeru Nizar sudah pun hilang jawatan Menteri Besar seiring dengan perkara 16(6) UTKNP dan artikel 43 Perlembagaan Persekutuan.

8. Menurut pensyarah Fakulti Undang-Undang UiTM Prof. Dr.Shad Saleem Faruqi, apabila ketua kerajaan (PM atau MB) berjumpa dengan YDPA atau Sultan bagi meminta consent untuk membubarkan dewan, maka Sultan boleh menidakkan atau tidak bersetuju berdasarkan artikel 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan. Serentak dengan itu, ketua kerajaan ini sudah hilang kelayakannya sebagai ketua kerajaan berdasarkan artikel 43 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu tidak perlu untuknya meletakkan jawatan kerana beliau sudah pun hilang jawatan.

9. Saya faham amat sukar penyokong pembangkang lebih-lebih lagi YB Nizar sendiri untuk menerima hakikat ini. Kepada YB Nizar, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Walaubagaimanapun terimalah hakikat ini kerana undang-undang jelas memihak kepada YB Dr.Zambry. Jika YB Nizar dan sahabat DAP mereka dahulu jaga hati Sultan dan tidak guris perasaan orang Melayu, mungkin DYMM Sultan akan membenarkan dewan negeri dibubarkan apabila diminta oleh YB Nizar. Itulah, semasa kita ada kuasa, jangan bongkak dan sombong, kerana Allah boleh pada bila-bila masa sahaja menarik nikmat tersebut.

9. Jangan Salahkan Badan Kehakiman

10. Saya ingin memberi peringatan kepada penulis blog Raja Petra, Haris Ibrahim dan Din Merican agar jangan apabila mahkamah memihak kepada kerajaan, badan kehakiman dikata korup dan sebagainya. Pada pendapat saya, badan kehakiman negara semakin pulih semenjak era pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kita masih mempunyai hakim-hakim yang berani seperti Abdul Aziz, Gopal Sri Ram, Ahmad Al-Helmy, RK Nathan, Umi Kalthum dan ramai lagi. Jangan mudah mengatakan badan kehakiman ini korup, apatah lagi mengatakan mereka ini “putus wayar”?

10. Jika kita tidak percaya badan kehakiman kita sendiri, siapa lagi yang boleh kita percayai? Hakim-hakim ini adalah orang yang bijaksana digelar sebagai Yang Arif dan harus dihormati. Mereka mengorbankan masa, memerah otak dan tenaga demi mempercepatkan proses keadilan di semua mahkamah seluruh negara mereka berkhidmat. Bukan mudah untuk mengadili kes yang banyak dalam masa yang singkat. Oleh itu hargailah jasa pengorbanan mereka.

11. Orang-orang seperti Raja Petra dan Din Merican yang buta undang-undang hanya layak duduk diam dan senyap. Jangan cakap dan hentam hakim sesukahati jika tidak mengetahui kebenaran sebenar. Selidik dahulu, baru bercakap. Cakap biar berlandaskan fakta dan kebenaran. Kalau anak seorang pun tak boleh nak jaga, janganlah berangan mahu perbetulkan hakim pula.

DR SIDDIQ AZANI
UITM
Penghuni Gua : Semuga semuanya menadapat menafaat dari mereka yang pakar dalam bidangnya. Jangan guna hujah loyar buruk dan yang mengaku pakar tetapi penuh dengan dendam kesumat.

1 comment:

PETA PELAYAR