FOLLOWERS

Tuesday 19 May 2009

KEPUTUSAN YAA HAKIM NIZAR MB : PENJELASAN SIDDIQ AZANI,FAKULTI UNDANG-UNDANG UiTM MALAYSIA




1. Mahkhamah seharusnya tahu bahawa seseorang itu tidak mungkin akan meletakkan jawatannya sebagai menteri besar secara sukarela lebih-lebih lagi apabila beliau tidak merasakan bahawa beliau sudah hilang kepercayaan ahli Dewan Undangan Negeri.

2. Dalam keputusan mahkhamah semalam, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa perlantikan Dr.Zambry sebagai tidak sah atas dua sebab; pertama oleh kerana tiada undi tidak percaya dilakukan ke atas YB Nizar, dan kedua; oleh kerana YB Nizar tidak mengosongkan jawatan beliau sebagai Menteri Besar dan oleh kerana itu tidak boleh ada dua menteri besar sekaligus.

3. Bagi sebab yang pertama, tiada undang-undang menyebut bagaimana undi tidak percaya itu harus diadakan. Walaubagaimanapun mengikut pendapat Art.Harun oleh kerana kita mengikuti sistem Westminster maka undi tidak percaya harus dilakukan di dalam Dewan.

4. Kita semua tahu akan kehadiran Civil Law Act 1953 yang telah memberikan kita kebebasan untuk tidak mengikut undang-undang barat. Dengan kata lain, kita tidak semestinya mengikuti sistem Westminster tersebut.

5. Oleh kerana tiada cara khusus ditetapkan oleh undang-undang untuk bagaimana vote of no confidence itu diadakan, ia terserah kepada interpretasi mahkhmah itu sendiri. Dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Tun Abg Hj. Openg & Tawi Sli, mahkhamah mendapati bahawa undi tidak percaya hanya boleh dilakukan di dalam dewan.

6. Saya memahami posisi mahkhmah tinggi yang lebih rendah dari mahkhmah persekutuan dan oleh itu hakim Abdul Aziz terpaksa mengikuti keputusan yang telah diputuskan dalam kes Stephen. Walaubagaimanapun saya berharap agar mahkhmah persekutuan akan mempertimbangkan semula keputusan dalam Stephen.

7. Kita harus berbalik kepada niat atau tujuan asal Suruhanjaya Reid dalam merangka perlembagaan kita. Dengan kata lain, cuba kita letak posisi kita dalam posisi mereka sewaktu mereka merangka perlembagaan ini.

8. Saya yakin, artikel 40 (2) dan 43 dibuat dengan begitu umum dan mereka berhasrat untuk menyatakan bahawa jika seseorang itu sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti dewan, maka seseorang itu harus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

9. Jika mereka benar-benar mahu menjadikan cara vote of no confidence itu penting, mereka sudah lama meletakkan cara bagaimana vote of no confidence ini harus dilakukan, sudah pasti mereka sudah meletakkan satu lagi clausa mengatakan vote of no confidence ini hanya boleh dilakukan di dalam dewan sahaja. Tetapi ia tidak pernah dinyatakan di dalam mana-mana undang-undang. Kita tidak jelas bagaimana vote of no confidence itu harus dijalankan.

10. Bagi sebab yang kedua, hakim abdul aziz manyatakan bahawa oleh kerana YB Nizar belum meletakkan jawatan lagi, maka tidak boleh ada dua Menteri Besar dalam satu-satu masa. Memanglah, mana ada orang yang sanggup letak jawatan begitu sahaja.

11. Dalam mana-mana undang-undang sekalipun tidak pernah ada berbunyi Sultan berhak memecat Menteri Besar atau YDPA berhak memecat Perdana Menteri. Benar, tetapi langsung tidak boleh pecat kah?

12. Saya amat bersetuju dengan hujah Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa Baginda Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak pernah memecat YB Nizar, Cuma YB Nizar hilang kelayakan sebagai Menteri Besar dibawah perkara 16(6) undang-undang tubuh negeri Perak dan artikel 43 (2) (a) perlembagaan persekutuan.

13. Apabila seseorang itu hilang majoriti sokongan dalam dewan, maka perkara pertama yang harus dilakukan olehnya ialah untuk mengadap Sultan bagi meminta “consent” atau perkenan Sultan untuk membubarkan dewan. Di sini baginda sultan mempunyai kuasa mutlak untuk menafikan dan berkata “Beta mahu cuba kerajaan yang baru ini.”

14. Apabila terjadi perkara seperti di atas, maka dengan automatiknya Menteri Besar ini telah hilang kelayakannya sebagai Menteri Besar dan oleh itu kita tidak perlu beliau untuk meletakkan jawatan lagi oleh kerana beliau sudah pun hilang jawatan. Jika di saat genting seperti ini kita masih memerlukan perletakan jawatan secara sukarela olehnya, susah lah nak buat kerja pentadbiran.

15. Undang-undang boleh jadi “rigid” atau “flexible” bergantung kepada fakta kes tertentu. Selepas ini YB Nizar akan mengadap Baginda Sultan sekali lagi untuk membubarkan dewan negeri, apa akan jadi jika Sultan menolaknya sekali lagi? Lihat, ia seperti drama yang sama berulang kembali.
16. Oleh itu hujah Peguam Negara tepat apabila beliau mengatakan bahawa seseorang itu hilang kelayakan sebagai Menteri Besar apabila beliau hilang kepercayaan majoriti dan permintaannya untuk membubarkan DUN Perak tidak dipersetujui oleh baginda Sultan Azlan Shah.

17. Terdapat suatu lagi keraguan. Jika YB Nizar mengatakan bahawa beliau masih Menteri Besar yang sah dan yakin masih mempunyai majoriti dalam DUN negeri, mengapa beliau mengadap Sultan Perak untuk membubarkan DUN seolah-olah beliau sudah hilang kepercayaan majoriti?

18. Ini boleh dikatakan bahawa YB Nizar percaya beliau sudah tidak lagi Menteri Besar yang disokong majoriti ahli DUN dan oleh kerana itu amat penting buatnya untuk mengadakan pilihan raya baru untuk memberi Rakyat Perak membuat keputusan.

19. Saya berharap Baginda Sultan dapat menempuhi saat ini dengan lebih tabah. Baginda juga harus memikirkan perasaan dan kehendak Rakyat yang bernaung dibawah baginda. Jika baginda masih yakin bahawa kerajaan Dr.Zambry masih sah, maka baginda boleh menolak permintaan YB Nizar sekali lagi untuk membubarkan sidang Dewan DUN.

20. Tetapi jika Baginda mahu menamatkan konflik ini dengan segera, maka Baginda boleh lah membubarkan sidang DUN. Ia adalah kuasa mutlak Baginda sultan yang termaktub dibawah artikel 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan dan kami rakyat jelata menerima apa jua keputusan yang akan Baginda lakukan. Daulat Tuanku! –

SIDDIQ AZANI,
FAKULTI UNDANG-UNDANG UiTM MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR