FOLLOWERS

Thursday 21 May 2009

LTTE : RENCANA UTUSAN MALAYSIA 21 MEI 2009


Berakhirnya perjuangan yang sia-sia
Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY

SEBAHAGIAN daripada mayat-mayat gerila LTTE yang terbunuh selepas pertempuran dengan tentera kerajaan Sri Lanka.

AKHIRNYA konflik bersenjata selama lebih 25 tahun antara pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kerajaan Sri Lanka yang telah mengorbankan lebih 70,000 nyawa, berakhir pada Isnin lalu apabila pemimpin utamanya, Vellupillai Prabhakaran terbunuh dalam satu serang hendap oleh pihak tentera di timur laut negara itu.

Pada masa yang sama, kerajaan Sri Lanka telah mengisytiharkan kemenangan dalam konflik berdarah selama suku dekad dengan LTTE selepas berjaya menumpaskan saki-baki kumpulan pemberontak termasuk membunuh Prabhakaran.

Kemenangan itu diumumkan oleh Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa sendiri selepas pasukan komando negara pulau itu berjaya menembak mati kira-kira 300 anggota LTTE yang merupakan kumpulan terakhir pemberontak yang masih berkubu di kawasan hutan kecil di daerah Mullaithivu, timur laut Sri Lanka.

Sebelum itu, LTTE telah mengaku kalah melalui kenyataan ketua hubungan antarabangsanya, Selvarasa Pathmanathan di laman web propemberontak, Tamilnet pada 17 Mei lalu dalam apa yang disifatkan sebagai ‘pertempuran telah menemui penamat yang perit.’

Sehari kemudian (Isnin) tanggal 18 Mei 2009, perjuangan Harimau Tamil disahkan berkubur apabila Prabhakaran disahkan terbunuh ketika cuba melarikan diri bersama-sama beberapa anggota kanan kumpulan pengganas itu dengan menggunakan van berperisai yang menyamar sebagai kenderaan ambulans.

Rajapaksa juga telah menetapkan Rabu lalu (bersamaan 20 Mei 2009) sebagai cuti umum ketika rakyat Sri Lanka keluar dari rumah sambil menari dan menyanyi bagi meraikan kejayaan besar tentera kerajaan itu.

Sambutan itu sebagai tanda kegembiraan mereka setelah menderita begitu lama sejak LTTE memulakan perjuangan berdarah pada Julai 1983 membunuh tentera kerajaan dan orang awam bagi mencapai matlamat untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dalam negara Sri Lanka.

Konflik bersenjata yang dicetuskan oleh LTTE adalah yang paling lama dan paling kejam di Asia dan telah meragut puluhan ribu nyawa dalam pertempuran, serangan hendap dan pengeboman berani matinya.

Nama LTTE sememangnya dikenali di dunia sebagai pertubuhan pengganas yang paling ganas dengan serangan berani mati yang lebih banyak jika dibandingkan dengan jumlah serangan serupa yang dilakukan Al-Qaeda, Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) dan beberapa organisasi pengganas yang lain.

Kumpulan pemberontak Tamil ini juga mempunyai rangkaian perhubungan antarabangsa yang sofistikated sejak ditubuhkan 33 tahun lalu dan ia menyukarkan usaha kerajaan untuk menundukkannya selama ini.

Perkara ini diakui sendiri oleh Setiausaha Pertahanan Sri Lanka, Gotabhaya Rajapakse yang mendakwa agensi bantuan dan pertubuhan berita antarabangsa menyebelahi Harimau Tamil sehingga memaksa kerajaan menghalau tiga wartawan saluran berita Channel 4 dari London yang dikatakan membuat laporan palsu pada minggu lalu.

Masyarakat Tamil seluruh dunia juga bukan setakat simpati, malah ada yang menghulurkan bantuan kepada LTTE yang kononnya 'memperjuangkan' penubuhan negara bagi etnik itu di Sri Lanka.

LTTE ternyata kumpulan pengganas yang paling dahsyat kekuatannya kerana memiliki kapal selam buatan sendiri, beberapa kapal terbang kecil dan sedikit teknologi ketenteraan yang disumbangkan dari luar.

Namun, segarang manapun 'harimau' ini, kerajaan Sri Lanka awal tahun ini telah membulatkan tekad untuk menundukkannya dengan operasi ketenteraan tidak sampai setahun selepas secara rasmi menarik diri daripada perjanjian gencatan senjata pada 16 Januari 2008.

Harimau Tamil mulai nazak sejak Rajapaksa pada 2 Januari lalu mengumumkan telah berjaya merampas 'ibu negerinya' iaitu Kilinochchi sejak operasi besar-besaran dimulakan pada November 2008.

LTTE kemudiannya terpaksa meninggalkan Semenanjung Jaffna seminggu kemudian dan berkubu di Mullaitivu, timur laut Sri Lanka, sebelum ia turut ditawan pihak tentera beberapa hari selepas itu.

Kekalahan demi kekalahan menyebabkan LTTE semakin terkepung ke kawasan hutan seluas kurang dari 15 kilometer persegi di Mullaitivu, sedangkan mereka pernah menguasai 15,000 kilometer persegi iaitu sepertiga daripada negara itu.

Ratusan ribu orang awam etnik Tamil menjadi mangsa keadaan dengan tentera kerajaan menuduh LTTE menjadikan mereka 'perisai manusia' manakala LTTE menuduh kerajaan terus membedil penduduk yang tidak berdosa.

Perkara ini turut mencetus kebimbangan masyarakat antarabangsa dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Barat mendesak kerajaan Sri Lanka mengadakan gencatan senjata.

Namun setelah kira-kira 50,000 orang awam berjaya dibawa keluar daripada zon perang, tentera Sri Lanka terus menggempur LTTE habis-habisan seterusnya membawa kepada kemenangan besar Isnin lalu selepas operasi selama tujuh bulan.

Sehingga kini seramai hampir 300,000 orang penduduk etnik Tamil terpaksa menetap di kem pelarian di Varuniya, utara Sri Lanka sekali gus menjadi krisis kemanusiaan yang memerlukan penyelesaian segera di negara itu.

Kejayaan Sri Lanka dalam menyelesaikan konflik ini sebenarnya harus dipuji kerana pihak kerajaan telah membuka banyak ruang rundingan selama ini sebelum mengambil keputusan menggempurnya habis-habisan.

Kekalahan LTTE di Sri Lanka juga perlu menjadi teladan dan sempadan bagi pelbagai pihak di mana-mana negara dunia supaya bertindak segera dalam menangani sebarang unsur tuntutan melampau oleh pertubuhan haram atau pengganas.

Masalah yang ditimbulkan dalam perjuangan berasaskan perkauman seperti Hindraf di negara kita ini perlu dibanteras dengan segera sebelum ia melarat.

Apa yang perlu dipupuk adalah perpaduan antara kaum dan bukan saling mementingkan kepentingan sesuatu etnik sehingga menyebabkan negara terjebak dalam kancah perkauman yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969, bulan yang sama 40 tahun lalu................

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR