FOLLOWERS

Saturday 22 August 2009

POLITIK SEMASA : DATO A KADIR JASIN MENULIS !


Dipetik dari Blog : The Scribe A Kadir Jasin


Friday, August 21, 2009

Politik Semasa: Di Antara Kepintaran dan Ketidaksiuman


DARIPADA tindak-tanduk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus mempertikaikan “keislaman” sesama Muslim kerana fahaman politik sehinggalah kepada kes penyelewengan Port Klang Free Zone, pembatalan lesen guaman calon Barisan Nasional Permatang Pasir dan penangkapan Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N Gobalakrishnan, kita mendapati semakin hari semakin sukar untuk menilai kewibawaan kepemimpinan politik.

Apakah ini realiti – iaitu kepemimpinan politik negara kita kini mengalami isu kredibiliti dan kesiuman yang serius – atau ia berupa kesan langsung ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mengaburkan garis pemisah di antara realiti dan persepsi, di antara kepintaran dan kegilaan?

Misalnya, kita tidak pasti lagi siapakah Nik Abdul Aziz sebenarnya. Adakah dia seorang tok guru, seorang ulama, seorang pemimpin Pas atau jurucakap Pakatan Rakyat?


Atau adakah dia gabungan semua atau separuh daripada ciri-ciri ini?


Atau mungkin ada orang cerdik akan mengatakan bahawa Nik Abdul Aziz adalah lebih daripada semua itu. Bahawa dia adalah enigma – satu watak yang membingungkan (puzzling), penuh misteri (mysterious), kabur (ambiguous/cryptic) dan tidak boleh didalami (unfathomable)?


Dalam erti kata yang lain, walaupun dia menampilkan luaran (facade) yang “simple”, realitinya dia mempunyai watak yang kompleks, pelbagai, bercanggah (conflicting), licik dan sinis.Dia mungkin lebih kompleks dan cryptic daripada Ketua de facto Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini diberi label “political chameleon” (sumpah-sumpah/sesumpah politik) oleh majalah The Economist.


Sumpah-sumpah adalah sejenis reptilia yang boleh mengubah warna kulitnya untuk menyesuaikan dengan persekitaran. Ada kamus yang menyamakan sesumpah dengan cicak kobeng.Sebelum ini, kekaburan, keluarbiasaan atau kecelaruan pemikiran dan penghujahan Nik Abdul Aziz tidak begitu ketara kerana beliau tidak mendapat pendedahan luas oleh media massa.


Media massa lebih mengutamakan Presiden Pas daripada Mursyidul Amnya.Tetapi pada akhir-akhir ini, akibat persekongkolan Pas dengan DAP dan PKR serta kemunculan puak-puak dalam Pas sendiri, maka Tok Guru Pas itu muncul sebagai kata pemutus dalam banyak hal. Dalam pergeseran ini, Nik Aziz disokong kuat oleh apa yang dikenali sebagai Erdogan manakala yang lain menyokong Presiden parti, Haji Abdul Hadi Awang.


Lihat bagaimana Nik Abdul Aziz dan puaknya muncul sebagai pengkritik utama ura-ura perundingan di antara Umno dan Pas serta pembela kerjasama dengan bukan Islam seperti dalam isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam di Selangor.


Liputan media massa arus perdana dan alternatif yang meluas terhadap beliau menyebabkan persoalan mengenai perwatakan, tahap pemikiran, daya artikulasi dan prestij beliau menjadi semakin ketara dan hebat dibahaskan.PKFZ Bom Nuklear PolitikIsu PKFZ pula akan terus menikam tajam Kerajaan Mohd Najib Abdul Razak dan BN jika tidak ditangani segera secara tegas dan meyakinkan.


Saman menyaman di antara pembesar dua parti kaum Cina BN, iaitu MCA dan Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) yang terlibat terus dengan kontroversi raksasa ini akan melemahkan lagi BN dan menguji kesungguhan Mohd Najib melaksanakan National Key Result Areas (NKRA) mengenai pembasmian rasuah.


Meminjam tajuk berita akhbar Sin Chew Daily versi online: “The PKFZ truth might be a nuclear bomb in the political arena.” (Kebenaran di sebalik PKFZ mungkin menjadi bom nuklear arena politik).Peristiwa di sebalik penangkapan Ahli Parlimen PKR Padang Serai, N. Gobalakrishnan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir adalah sambungan kepada drama para pembesar PR yang seolah-olah sengaja mahu ditangkap agar cepat mendapat jolokan hero atau orang berani.


Adalah hakikat bahawa ramai pembesar pembangkang menganggap tangkapan polis dan penahanan ISA sebagai pasport ke arah kemantapan kerjaya politik dan sesiapa yang tidak melaluinya dianggap bukan pejuang tulen.Manakala kontroversi di sekitar calon BN Permatang Pasir, Rohaizat Othman adalah penerusan kemelut Umno yang nampaknya masih meraba-raba mencari orang bersih, orang terhormat dan orang bermaruah untuk mengisi kepemimpinan parti.


Kalau seorang bekas peguam yang dibatalkan lesen guamannya tidak memberitahu keadaan sebenar kepada partinya dan partinya pula gagal membuat perisikan rapi ke atas keperibadiannya, maka mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa jika dimalukan oleh pengundi.


Dalam situasi begini, lebih baik jangan bertanding kalau bertanding sekadar untuk dimalukan. Lebih bermaruah rasanya mengaku silap dan menarik diri. Seorang lulusan undang-undang seperti Rohaizat tentu pernah dengar ungkapan bahawa seseorang itu bukan sahaja perlu bersih, tetapi mesti nampak bersih.



Posted by A KADIR JASIN at 9:29 PM

2 comments:

  1. salam bro,

    selamat berbuka.............dan selamat berpuasa selama sebulan

    ReplyDelete
  2. SALAM AL-MUBARAK..SEMOGA IBADAH KITA DITERIMA ALLAH S.W.T

    ReplyDelete

PETA PELAYAR