FOLLOWERS

Tuesday 1 September 2009

DUN KOTA SEPUTEH : SPR SAHKAN IA KEKAL MILIK BN !

Di petik dari : mStar Online

DUN KOTA SIPUTEH: KENYATAAN AKHBAR SPR
BERIKUT ialah kenyataan akhbar penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung status Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh.


KEDUDUKAN KERUSI DEWAN UNDANGAN NEGERI N.3 KOTA SIPUTEH, KEDAH


1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah pada 17 Ogos 2009 yang menyatakan terdapat kekosongan luar jangka di bawah Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, YB Dato’ Hasan bin Sarif dikatakan telah gagal hadir dalam Dewan Undangan Negeri dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut.


2. Sehubungan dengan itu, SPR pada hari ini, 01 September 2009 telah mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan perkara tersebut. Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyatakan jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong.


3. Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, memberi SPR kuasa untuk memastikan jika ada berlakunya kekosongan luar jangka dan tarikh berlakunya kekosongan luar jangka itu.


4. Dalam menjalankan kuasanya di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, SPR perlu menentukan bahawa ADUN Kota Siputeh itu tidak hadir di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut dan ADUN itu diberi peluang untuk menjelaskan keadaan yang menyebabkan beliau tidak dapat hadir dalam mesyuarat tersebut.


5. Berdasarkan kepada fakta yang dikemukakan, ADUN Kota Siputeh telah tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri pada 19 April 2009 dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri pada 9 Ogos 2009.


6. Berdasarkan ketidakhadiran tersebut Speaker telah memaklumkan Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah melalui surat bertarikh 17 Ogos 2009 bahawa kerusi ADUN N.3 Kota Siputeh menjadi kosong menurut Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.


7. Dalam memutuskan isu ketidakhadiran di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut, takrif perkataan “mesyuarat” (meeting), “penggal persidangan” (session) dan “persidangan” (sitting) telah diberi perhatian dan pentafsirannya menurut Perkara 2 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah dan Peraturan 96 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Bagi memperlengkap tafsiran kepada perkataan yang tersebut di atas, Fasal (1) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman juga telah dirujuk.


8. Menurut Warta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman (K.P.U.5/2009) DYMM Sultan Kedah telah mengisytiharkan bahawa 19 April 2009 pukul 9.00 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah. Di bawah Warta Kerajaan (K.P.U. 10/2009) pula, DYMM Sultan Kedah telah mengisytiharkan bahawa 9 Ogos 2009 pada pukul 9.00 pagi sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah.


9. P. Ramanatha Aiyar di dalam buku beliau, The Law Lexicon – The Encyclopaedic Law Dictionary with Legal Maxims, Latin Terms, Words & Phrases, Edisi Kedua, Cetakan Semula 2007 (Wadhwa and Company Nagpur, Law PUblisher) di muka surat 386, telah menakrifkan perkataan consecutive meetings ertinya Meetings, one immediately following the other.


10. Berdasarkan kepada perenggan 8 di atas dan takrif perkataan “consecutive meetings”, Mesyuarat Kelima Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah dan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah bukanlah “consecutive meetings” dalam erti kata Perkara 51.


11. Sehubungan dengan itu, adalah tidak tepat jika dikatakan bahawa ADUN tersebut tidak hadir dalam dua mesyuarat berturut-turut. Ini adalah kerana mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN berkenaan bukanlah dua mesyuarat berturut-turut di dalam satu penggal persidangan. Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut bagi dua penggal yang berbeza. (Tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan penggal persidangan kedua ialah selama 3 bulan 20 hari).


12. Bagi isu sama ada ADUN Kota Siputeh diberi peluang untuk menjelaskan keadaan yang menyebabkan beliau tidak dapat hadir dalam mesyuarat pada 9 Ogos 2009, SPR telah meneliti surat daripada ADUN Kota Siputeh kepada Speaker bertarikh 10 Ogos 2009 yang memohon maaf kerana tiada dapat hadir dalam sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama-sama surat tersebut turut dilampirkan Surat Cuti Sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 Ogos 2009 hingga 10 Ogos 2009 dan kenyataan bahawa beliau telah menghantar sms kepada Ketua Pembangkang memaklumkan ketidakhadiran beliau pada sidang Dewan hari tersebut kerana sakit dada.


13. Berdasarkan dokumen yang ada dan setelah meneliti fakta ketidakhadiran ADUN Kota Siputeh pada 9 Ogos 2009, SPR mendapati bahawa ketidakhadirannya itu adalah disebabkan beliau sakit berdasarkan kepada Surat Cuti Sakit yang dilampirkan pada surat kepada Speaker yang bertarikh 10 Ogos 2009. Walau bagaimanapun, tiada apa-apa maklumat yang diterima oleh SPR sama ada penjelasan tersebut telah diberi pertimbangan atau sebaliknya. 14. Di samping itu tiada maklumat yang diterima oleh SPR berhubung dengan rujukan oleh Speaker mahu pun ADUN Kota Siputeh kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman.


15. Ini adalah kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mempunyai kuasa yang diperuntukkan di bawah Peraturan 78 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman untuk menimbangkan kuasa-kuasa, hak dan kebebasan Dewan. Kuasa Speaker untuk memberikan kebenaran kepada ADUN tidak hadir dalam mesyuarat Dewan kerana sakit merupakan satu dari perkara yang terangkum dalam kuasa, hak dan kebebasan Dewan. Erskine Mya’s Treatise On The Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament, di muka surat 75 menjelaskan erti What Constitutes Privelege sebagai other such rights and immunities such as the power to punish for contempt and the power to regulate its own constitution belong primarily to each House as a collective body, for the protection of its Members and the vindication of its own authority and dignity.


16. Oleh sebab tidak terdapat mana-mana peruntukan dalam undang-undang dan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan, maka isu berhubung dengan ketidakhadiran ADUN kerana cuti sakit wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan bagi menjelaskan sama ada alasan sakit yang diberi setelah Dewan bersidang boleh diterima oleh Speaker. Maka SPR berpendapat bahawa Peraturan 78 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah telah tidak dirujuk langsung bagi membantu SPR dalam memutuskan dan menghilangkan apa-apa keraguan di pihak SPR berhubung dengan isu yang dinyatakan dalam perenggan 12.


17. Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, SPR memutuskan bahawa Mesyuarat yang tidak dihadiri oleh ADUN Kota Siputeh bukanlah dua mesyuarat berturut-turut di dalam satu penggal persidangan dalam erti kata Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman. Sebaliknya ia adalah dua mesyuarat berturut-turut untuk dua penggal yang berbeza (Tempoh masa antara penggal persidangan pertama dan penggal persidangan kedua ialah selama 3 bulan 20 hari).

Surat Cuti Sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh diterima oleh SPR sebagai penjelasan mengenai ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat Dewan pada 9 Ogos 2009. SPR juga mendapati bahawa kegagalan ADUN Kota Siputeh itu menghantar Surat Cuti Sakit kepada Speaker lebih awal (selewat-lewatnya pada 9 Ogos 2009) tidak menjadikan Surat Cuti Sakit itu terbatal. SPR berpendapat bahawa sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia hendaklah terlebih dahulu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan. SPR memutuskan bahawa tiada berlaku apa-apa kekosongan pada kerusi ADUN N.3 Kota Siputeh.”.


18. SPR juga memutuskan bahawa kerusi ADUN N.3 Kota Siputeh masih disandang oleh YB. Dato’ Abu Hassan b. Sarif yang beliau menangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lepas.
Sekian, terima kasih.


(TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD YUSOF)
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
01 September 2009

Penghuni Gua : Kepada ADUN berkenaan : jangan lagi membuat perkara bodoh yang boleh menyusahkan ramai pihak termasuk rakyat dan kewangan negara jika PRK berlaku.

2. Kepada PM : Jangan calunkan lagi YB ini yang amat mengambil mudah perkara sepenting itu.

5 comments:

  1. Masaalah dia tu bukan payak sangat nak faham.
    Lama dok hidup dalam selesa kerana dia berada dalam kerajaan. Tiba tiba dah jadi pembangkang. Dia tak sedar lagi. Masih dok selesa gitu gak.

    ReplyDelete
  2. ALHAMDULLILAHHHH..SEGALA PUJI2AN BG ALLAH..YEZZEKKK!!

    ReplyDelete
  3. Salam,

    PR sengaja mencari kawasan-kawasan yang mereka rasa kubu boleh menang untuk adakan PRK, tetapi agenda ini tidak berjaya, mereka akan berusaha mencari jalan mengadakan PRK sehingga PRU13 nanti. Dengan cara inilah sahaja mereka dapat berkempen dan mempengaruhi rakyat......

    ReplyDelete
  4. salam bro,

    Nasib baik. kalau tidak PR 8- BN 1. Huhuhu

    ReplyDelete
  5. Ia tak ia, mana boleh ketidakhadiran dua mesyuarat (meeting) masing-masing di penggal yang berbeza boleh ditakrifkan sebagai berturut-turut (two consecutive meetings). Satu (ketidakhadiran) pada mesyuarat kelima penggal Persidangan Pertama dan satu (ketidakhadiran)Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan kedua. Musimnya dah berbeza.

    Tak pandai tafsir undang2 atau saja-saja kot nak buat lawak.

    Lepas ini, jangan ada pula yang berani nak ponteng/tuang dua mesyuarat berturut-turut dalam Penggal Persidangan yang sama.

    Dr Abdul Rani Bin Kamarudin

    ReplyDelete

PETA PELAYAR