FOLLOWERS

Monday 7 September 2009

SISTEM KEADILAN JENAYAH : KES BIDANG KUASA DAN HAK MAHKAMAH MAGISTRATE !


TEY KEE CHUAN & 1 LAGI lwn. PENDAKWA RAYA
[1995] 1 CLJ 802


Nota : Kuliah lama PG yang ada dalam simpanan. Ia adalah juga catatan tambahan yang dibuat oleh seorang yang amat dedikasi di dalam kelas kami . Setinggi terima kaseh kepada Che Zaimani yang begitu rajin dalam membantu kami dahulu. Kepada semua pelayar blog ini, semuga dengan paparan ini, ianya akan memberi menafaat kepada semua dalam memahami secara ringkas mengenai Sistem keadilan Jenayah Di Malaysia. Tq

PENGENALAN

Ini merupakan satu permohonan kepada Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa penyemakan yang diberi oleh s. 325 Kanun Prosedur Jenayah untuk memutuskan sama ada di bawah s. 20 Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971, hanya Mahkamah Sesyen sahaja yang mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan di bawah Akta 1971 dan sama ada sabitan kedua-dua perayu oleh Mahkamah Majistret adalah tak sah.

FAKTA KES

Kedua-dua perayu telah dituduh di Mahkamah Majistret, Johor Bahru pada 30 Mei 1992 di bawah pertuduhan seperti berikut:

Bahawa kamu bersama-sama pada 22 Mei 1992, jam lebih kurang 4.15 pagi di pintu masuk Tambak Johor dalam Daerah Johor Bahru di dalam Kawasan Kawalan Pemasaran Ikan mengikut Warta Kerajaan PU(B) 52, tanpa lesen untuk mengimpot ikan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah didapati mengimpot ikan sebanyak kira-kira 160 kg dengan menggunakan Motor Van No JBW 2011. Dengan itu kamu bersama-sama telah melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 4A(3) Perturan-Peraturan Pemasaran Ikan (Pindaan) 1988 dan boleh dihukum bibawah s.n 17(1) Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Pindaan) 1973.

Kedua-dua tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan dan Majistret telah mengenakan hukuman denda sebanyak RM2,500 dan jika ingkar, penjara selama 6 bulan, masing-masing.

Di samping itu, Majistret telah memerintahkan motor van nombor JBW 2011 yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu dirampas. Kedua-dua perayu telah merayu kepada Mahkamah ini terhadap perintah perlucutanhak kenderaan itu.

Pada pendengaran rayuan, Peguam perayu menarik balik rayuan terhadap perintah perlucutanhak itu dan memohon secara lisan supaya Mahkamah menggunakan kuasa penyemakan yang diberi oleh s. 325 Kanun Prosedur Jenayah untuk memutuskan sama ada di bawah s. 20 Akta 1971, hanya Mahkamah Sesyen sahaja mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan di bawah Akta 1971 dan sama ada sabitan kedua-dua perayu oleh Mahkamah Majistret adalah tak sah.


MAHKAMAH TINGGI MEMUTUSKAN:

[1] Kedudukan Mahkamah Majistret Kelas Pertama mengenai bidang kuasa membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 1971 atau di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya adalah serupa seperti apa yang telah diputuskan di dalam kes Ratnasamy lwn. Public Prosecutor, iaitu, s. 20 Akta 1971 itu tidak menyingkirkan bidang kuasa Mahkamah Majistret Kelas Pertama.

[2] Seksyen 20 Akta 1971 itu menambahkan kuasa menghukum Mahkamah Sesyen bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta 1971 dan kaedah-kaedahnya walaupun ia akan melampaui kuasa menghukum yang diberikan kepadanya menurut undang-undang lain. Selanjutnya seksyen itu tidak pula memperuntukkan atau menggambarkan bahawa Mahkamah Majistret tidak ada kuasa membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 1971 atau di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya.

[3] Pada kesimpulannya s. 20 Akta 1971 itu tidak mencegah Mahkamah Majistret Kelas Pertama membicarakan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 1971 itu atau di bawah kaedah-kaedah yang dibuat dibawahnya. Pihak pendakwa mempunyai pilihan sama ada untuk mendakwa pihak perayu bagi kesalahan yang dilakukan pada 22 Mei 1992 di Mahkamah Majistret Kelas Pertama atau di Mahkamah Sesyen. Perbezaan hukuman yang boleh dikenakan hanya tertumpu kepada denda. Dalam keadaan sedemikian alasan rayuan yang dikemukakan secara lisan oleh Peguam pihak perayu adalah tidak berasas.

Rayuan ditolak. Keputusan Majistret disahkan.

Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971[1]

s. 20[2] menyatakan:

Walau apa yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain, sesuatu Mahkamah Sesyen adalah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya, dan untuk mengaward hukuman sepenuhnya bagi mana-mana kesalahan itu.

s. 17 memperuntukkan penalti am:

“seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan di bawah Akta atau di bawah mana-mana kaedah yang dibuat di bawah Akta, yang penalti baginya tiada diperuntukkan dengan nyata boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi lima belas ribu ringgit atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudian, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit atau kedua-duanya.”

PENGHAKIMAN

Hujah Peguam pihak perayu

Menurut Peguam pihak perayu, tertakluk kepada s. 20 Akta 1971 itu, hanya Mahkamah Sesyen sahaja yang mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes-kes yang melibatkan kesalahan di bawah Akta itu dan kaedah-kaedah yang dibuat dibawahnya dan oleh itu sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua perayu oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru adalah taksah. Oleh itu ia memohon supaya Mahkamah membenarkan rayuan ini.

Hujah responden

Pihak responden sebaliknya berhujah Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes-kes di bawah Akta 1971 itu kerana perkataan-perkataan yang digunakan di dalam s. 20 tersebut adalah “permissive” dan bukan “obligatory”. Ia kemudian telah membuat rujukan kepada kes Ratnasamy v. Public Prosecutor [1948] 14 MLJ 161 yang mana adalah satu kes yang melibatkan pendakwaan di bawah s. 55 Excise Enactment of Johore, Laws of Johor No. 102. Seksyen 55 tersebut berbunyi:

All prosecutions under this Enactment may be had before the Court of a Magistrate of the first class; and such Court may impose any penalty provided by this Enactment, anything in any other Enactment to the contrary notwithstanding.

Di dalam kes itu perayu telah berhujah oleh kerana Mahkamah Majistret yang sabitkan perayu bukan Majistret kelas pertama (istilah Mahkamah ini telah ditukarkan kepada ‘District Court’ pada tahun 1946 dengan bidang kuasa yang sama), Mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar kes terhadap perayu. Dalam keputusannya Hakim telah berkata:

The wordings of s. 55 of the Excise Enactment is however permissive and not obligatory, and the section was enacted in my view for the purpose of enabling the 1st class Magistrate’s Court to impose sentences which, owing to its power of punishment being limited, it could not otherwise impose.

dan di muka surat yang sama berkata:

The powers of s. 55 of the Excise Enactment do not however oust the jurisdiction of a Magistrate’s Court where offences under the Enactment fall within it.

dan seterusnya berkata:

I therefore hold that the conviction was correct and the sentence a lawful one and dismiss the appeal as far as the question of conviction is concerned ....

Hujah Pesuruhjaya Kehakiman

1. Kedudukan Mahkamah Majistret Kelas Pertama mengenai bidang kuasa membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 1971 atau di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya adalah serupa seperti apa yang telah diputuskan di dalam kes Ratnasamy tersebut, iaitu, s. 20 Akta 1971 itu tidak menyingkirkan bidang kuasa Mahkamah Majistret Kelas Pertama. Seksyen itu hanya memperuntukkan bahawa walaupun bidang kuasa Mahkamah Sesyen adalah terhad menurut undang-undang lain, Mahkamah itu masih boleh menbicarakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 1971 dan kaedah-kaedahnya dan boleh mengaward hukuman sepenuhnya walaupun akibatnya ialah Mahkamah Sesyen itu akan melampaui kuasa menghukum yang diberikan kepadanya. Pada kesimpulannya, s. 20 Akta 1971 itu menambahkan kuasa menghukum Mahkamah Sesyen walaupun ia adalah terhad menurut undang-undang lain. Selanjutnya seksyen itu tidak pula memperuntukkan atau menggambarkan bahawa Mahkamah Majistret tidak ada kuasa membicarakan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 1971 atau di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya.

2. Pesuruhjaya Kehakiman juga mendapat perkataan-perkataan “mana-mana undang-undang bertulis yang lain” yang dimaksudkan di dalam s. 20 Akta 1971 itu meliputi peruntukkan-peruntukkan yang terdapat di dalam Akta Mahkamah Rendah 1948 (selepas ini dirunjuk sebagai “Akta 1948”). Akta 1971 itu telah wujud pada tahun 1971 dan mula berkuatkuasa pada 1 November 1971. Di antara tarikh itu dan 1 Julai 1978, bidang kuasa Mahkamah Majistret Kelas Pertama bagi mengenakan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan jenayah adalah seperti diperuntukkan di bawah seksyen 87(1) Akta 1948 yang berbunyi seperti berikut:

A First Class Magistrate may pass any sentence allowed by law not exceeding-
(a) two years imprisonment;
(b) a fine of five thousand dollars;
(c) ...; or
(d) ... :

Provided that where, by any law for the time being in force, jurisdiction is given to the Court of any Magistrate to award punishment for any offence in excess of the power prescribed by this section, a First Class Magistrate may, notwithstanding anything contained herein, award the full punishment authorized by that law.

Di samping itu, bagi Mahkamah Sesyen, s. 64 Akta 1948 memperuntukkan:

A Sessions Court may pass any sentence allowed by law not exceeding:
(a) five years’ imprisonment, ...’
(b) a fine of ten thousand dollars, ...;
(c) ...; or
(d) ...:

Provided that where, by any law for the time being in force, jurisdiction is given to a Court subordinate to the High Court to award punishment for any offence in excess of the power prescribed by this section, a Sessions Court may, notwithstanding anything herein contained, award the full punishment authorized by that law.

Melalui Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1978 (Akta A434), yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1978, s. 87(1) Akta 1948 itu telah dipinda, dan berikutnya, Mahkamah Majistret Kelas Pertama diberi kuasa mengenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun atau mengenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan di samping itu, s. 64(1) Akta 1948 itu telah dipinda dan Mahkamah Sesyen diberi kuasa mengenakan apa-apa hukuman melainkan hukuman mati. Selain daripada peruntukan-peruntukan di atas, s. 85 Akta Mahkamah Rendah (seperti dipinda oleh Akta Mahkamah Rendah (Pindaan) 1979 (Akta A459) yang mula berkuatkuasa pada 1 Oktober 1979) memperuntukkan:


Subject to limitations contained in this Act a First Class Magistrate shall have jurisdiction to try all offences for which the maximum term of imprisonment provided by law does not exceed ten years imprisonment or which are punishable with fine only and offences under ss. 392 and 457 of the Penal Code.

Ini bermakna jika kesalahan seperti yang dilakukan oleh pihak perayu didakwa di Mahkamah Majistret Kelas Pertama selepas 1 Julai 1978, Mahkamah itu boleh mengenakan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah s. 17 Akta 1971 itu, iaitu, hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun bagi kesalahan pertama. Walau bagaimanapun, mengenai denda bagi kesalahan pertama, walaupun s. 17 memperuntukkan Mahkamah boleh mengenakan denda tidak melebihi RM15,000, Mahkamah Majistret itu hanya boleh mengenakan denda tidak melebihi RM10,000 seperti yang diterhad oleh s. 87(1) Akta 1948 itu. Sebaliknya jika kes terhadap pihak perayu didakwa di Mahkamah Sesyen, adalah jelas menurut pindaan kepada s. 64(1) Akta 1948, Mahkamah itu boleh mengenakan denda tidak melebihi RM15,000 seperti yang diperuntukkan di bawah s. 17 Akta 1971 itu.

3. Pada kesimpulannya s. 20 Akta 1971 itu tidak mencegah Mahkamah Majistret Kelas Pertama membicarakan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 1971 itu atau di bawah kaedah-kaedah yang dibuat dibawahnya. Pihak pendakwa mempunyai pilihan sama ada untuk mendakwa pihak perayu bagi kesalahan yang dilakukan pada 22 Mei 1992 di Mahkamah Majistret Kelas Pertama atau di Mahkamah Sesyen. Perbezaan hukuman yang boleh dikenakan hanya tertumpu kepada denda. Bagi kesalahan pertama di bawah Peraturan 4A(3) Peraturan-Peraturan Pemasaran Ikan 1973 (seperti dipinda) Mahkamah Majistret Kelas Pertama boleh mengenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan Mahkamah Sesyen boleh mengenakan denda tidak melebihi RM15,000. Bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudian, Mahkamah Magistret Kelas Pertama masih hanya boleh mengenakan denda setakat RM10,000 tetapi Mahkamah Sesyen boleh mengenakan denda tidak melebihi RM25,000 seperti yang diperuntukkan di bawah s. 17 Akta 1971 itu. Ini adalah kedudukannya pada tahun 1992 apabila pihak perayu melakukan kesalahan.

4. Oleh itu demikian, alasan rayuan yang dikemukakan secara lisan oleh Peguam pihak perayu adalah tidak berasas dan berikutnya, rayuan ini ditolak dan keputusan Majistret disahkan.

5. Obiter dicta[3]

Beliau telah teguran kepada kesilapan-kesilapan nama yang terdapat di dalam pertuduhan terhadap perayu. Nama kaedah-kaedah yang seharusnya dicatatkan di dalam pertuduhan ialah “Peraturan-Peraturan Pemasaran Ikan 1973”, iaitu peraturan-peraturan ibu, dan bukan “Peraturan-Peraturan Pemasaran Ikan (Pindaan) 1988” yang mana adalah nama yang diberi kepada peraturan-peraturan yang meminda peraturan-peraturan ibu itu. Berikutnya nama Akta yang seharusnya dicatatkan di dalam pertuduhan ialah “Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1971”, iaitu Akta ibu, dan bukan “Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Pindaan) 1973” yang mana adalah nama Akta yang meminda Akta ibu. Walaupun kesilapan itu tidak menjejaskan atau mengelirukan pihak perayu, pihak pendakwaan hendaklah berwaspada kepada kesilapan-kesilapan catatan tersebut.

Sebelum sesuatu pertuduhan dikemukakan kepada Mahkamah, pegawai pendakwa hendaklah memastikan nama Akta atau kaedah-kaedah yang berkenaan adalah tepat dan betul dan jika pegawai pendakwa itu ragu, ia harus merujuk perkara itu kepada pegawai penasihat undang-undang Kementerian yang relevan ataupun kepada pihak pendakwa raya. Amalan ini dapat mengelakkan pertikaian tentang kandungan pertuduhan dan melicinkan prosiding Mahkamah yang boleh timbul.


ULASAN

Kesimpulan kes ini ialah bahawa seorang Majistrate mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesalahan-kesalahan di bawah Akta tersebut atas sebab penambahan bidang kuasa yang diberikan melalui s 87(1) Akta Mahkamah Rendah 1948 melalui pindaan Akta A434.
[1] Akta 49


[2] dimasukkan ke dalam Akta 1971 melalui Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Pindaan) 1973 (Akta A201) dan berkuatkuasa pada 1 Julai 1973.


Nota : Bermakna “suatu pemerhatian yang dibuat oleh seorang hakim berhubungan dengan sesuatu persolan undang-undang yang terdapat pada kes yang berada di hadapannya, tetapi ia tidak terbit daripada suatu keadaan yang berkehendakkan sesuatu keputusan. Oleh itu, pandangan yang diluahkan oleh halim tidak akan mengikat penghakiman kes-kes sepertinya yang timbul pada kemudian hari sebagai sebuah kes duluan.” Mohd. Radzali Masrum, Maksim dan Ungkapan Undang-undang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, 237-238.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR