FOLLOWERS

Sunday 20 September 2009

SISTEM KEADILAN JENAYAH : KES KUASA RAYUAN PENDAKWA DALAM KES MAHKAMAH JUVANA !



[1992] 2 MLJ 204
Pendakwa Raya lwn Pang Wai Kong dan Lain-lain
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (KUALA LUMPUR) — RAYUAN JENAYAH
BIL 41–123–1990
Judges Abdul Aziz H
Date 18 JULY 1991
Citation [1992] 2 MLJ 204



Catchwords:
Acara Jenayah — Pendakwaan — Kes pendakwaan — Pendakwa yang patut mengendalikan kes tidak hadir di mahkamah — Ketidakupayaan pendakwa yang lain untuk meneruskan pendakwaan — Sama ada pihak pendakwa telah dari itu menutup kesnya — Sama ada mahkamah juvana berkuasa memutuskan dengan sendirinya bahawa pihak pendakwa hendak menutup kesnya

Acara Jenayah — Rayuan — Kes mahkamah juvana — Sama ada pendakwa raya berhak merayu terhadap keputusan atau perintah mahkamah juvana — Hak pendakwa raya untuk merayu diberi oleh pindaan yang berkuatkuasa selepas tarikh kesalahan, tangkapan dan kehadiran pertama di mahkamah dan sebelum perbicaraan dimulakan — Sama ada pindaan itu terpakai — Akta Mahkamah Juvana 1947 s 14(1) — Akta Mahkamah Juvana (Pindaan) 1989

Perkataan dan Rangkai Kata — ‘All the evidence hereinbefore referred to’ — Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) s 173(f)

Facts:

Ini adalah rayuan oleh pendakwa raya terhadap perintah majistret mahkamah juvana, Kuala Lumpur, membebaskan ketiga-tiga responden di bawah s 173(f) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) daripada dua tuduhan di bawah s 385 Kanun Keseksaan (FMS Bab 45), iaitu secara bersama membuat dua orang — seorang satu tuduhan — berada dalam ketakutan akan bencana dengan niat melakukan pemerasan.

Dalam tiga hari pertama perbicaraan di hadapan majistret, empat saksi-saksi pendakwa telah selesai diperiksa, iaitu dua orang pegawai polis dan dua orang yang dikatakan mangsa responden. Pada hari keempat perbicaraan, pegawai penyiasat mula memberi keterangan. Semasa itu, pegawai pendakwa memohon untuk mengemukakan pernyataan beramaran responden ketiga.

Satu perbicaraan-dalam-perbicaraan telah dijalankan di mana pegawai penyiasat dan pegawai perakam pernyataan beramaran memberi keterangan diikuti pula oleh responden ketiga. Perbicaraan ditangguhkan semasa responden ketiga sedang diperiksa balas oleh pegawai pendakwa. Kes ditangguhkan ke tarikh yang agak jauh kerana pegawai pendakwa, ASP Adibah dikatakan akan bercuti bersalin.

Selepas itu ditangguhkan beberapa kali lagi kerana ASP Adibah tidak datang ke mahkamah untuk meneruskan pendakwaannya. Kes ditangguh ke 25 Mei 1990 sebagai penangguhan terakhir. Pada hari itu, ASP Adibah tidak hadir juga tetapi pegawai pendakwa yang lain, Insp Sathu Singh hadir dan berkata beliau tidak dapat menjalankan pendakwaan oleh kerana ianya telah sampai ke peringkat perbicaraan-dalam-perbicaraan. Majistret pun membuat perintah membebaskan responden-responden di bawah s 173(f).

Pada awal rayuan ini, peguam bagi responden membangkitkan bantahan permulaan yang mempersoalkan hak pendakwa raya memrayuan di bawah s 14(1) Akta Mahkamah Juvana 1947. Alasannya ialah sebelum 10 Februari 1989, di bawah seksyen itu pendakwa raya tidak berhak membuat rayuan terhadap keputusan atau perintah mahjuvana. Dengan berkuatkuasa mulai tarikh itu, seksyen itu telah dipinda oleh Akta Mahkamah Juvana (Pindaan) 1989 (Akta A725) untuk memberi kuasa merayu kepada pendakwa raya. Akan tetapi dalam kes ini, Akta A725 mula berkuatkuasa selepas tarikh kesalahan, tangkapan dan kehadiran pertama di mahkamah dan sebelum perbicaraan dimulakan.

Holdings:
Diputuskan, membenarkan rayuan:

(1) Perubahan yang dibuat oleh Akta A725 adalah perubahan tentang prosedur, walaupun Akta itu memberikan kepada pendakwa raya hak merayu yang tidak ada padanya sebelum itu. Ini adalah kerana rayuan adalah sebahagian daripada proses untuk membahawa hak-hak dan liabiliti-liabiliti seseorang itu dalam sesuatu hal ditentukan secara kehakiman dengan betul. Hak merayu tidak mengubah hak-hak dan liabiliti-liabiliti itu.

Oleh kerana Akta A725 itu bersifat prosedural, pindaan itu adalah beroperasi bagi kes seperti ini, di mana perbicaraan belum selesai — bahkan belum bermula pun — apabila hak merayu bagi penraya mula wujud melalui pindaan itu. Responden hanya akan memperolehi kekebalan daripada tindakan rayuan dan pelepasan mutlak daripada risiko hukuman sekiranya hak merayu pendakwa raya itu mula wujud selepas keputusan membebaskan mereka itu dibuat. Jadi pendakwa raya berhak membuat rayuan dalam kes ini.

(2) Ini bukanlah kes di mana pihak pendakwa telah menutup kesnya. Ketidakupayaan Insp Sathu Singh menjalankan pendakwaan pada 25 Mei 1990 tidak boleh ditafsirkan sebagai pihak pendakwa menutup kesnya. Dengan membuat keputusan di bawah s 173(f) sebelum pihak pendakwa menutup kesnya, majistret seolah-olahnya telah memutuskan sendiri bahawa pihak pendakwa hendakmenutup kesnya. Ini adalah suatu tindakan yang mahtidak mempunyai kuasa untuk melakukan.

(3) Perkataan-perkataan ‘all such evidence hereinbefore referred to’ dalam s 173(f) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) adalah merujuk kepada keterangan yang disebut dalam s 173(c), iaitu, ‘all such evidence as may be produced in support of the prosecution’. Ini bererti bukan sahaja keterangan yang telah dikemukakan tetapi juga keterangan yang pihak pendakwa masih lagi hendak menge. Adalah jelas daripada seksyen itu bahawa mahkamah tidak boleh membuat keputusan dan perintah di bawah seksyen itu sebelum pihak pendakwa selesai mengemukakan segala keyang ia ingin mengemukakan, yakni sebelum ia menutup kesnya.

Abdul Aziz H:
Section #1

Ini adalah rayuan oleh pendakwa raya terhadap perintah Majistret Pretam Singh, selaku majistret mahkamah juvana, Kuala Lumpur, membebaskan ketiga-tiga responden di bawah s 173(f) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) daripada dua tuduhan di bawah s 385 Kanun Keseksaan (FMS Bab 45), iaitu secara bersama (jointly) membuat dua orang — seorang satu tuduhan — berada dalam ketakutan akan bencana dengan niat melakukan pemerasan.

Pada permulaan pendengaran rayuan ini, peguam bijaksana bagi responden kedua telah membangkitkan bantahan yang mempersoalkan hak pendakwa raya membuat rayuan di bawah s 14(1) Akta Mahkamah Juvana 1947. Alasannya adalah begini. Sebelum 10 Februari 1989, kedudukan di bawah seksyen itu ialah bahawa pendakwa raya tidak berhak membuat rayuan terhadap keputusan atau perintah mahkamah juvana. Dengan berkuatkuasa mulai tarikh itu, seksyen itu telah dipinda oleh Akta Mahkamah Juvana (Pindaan) 1989 (Akta A725) untuk memberi kuasa merayu kepada pendakwa raya.

Dalam kes ini, kesalahannya dikatakan telah dilakukan pada 14 November 1988 dan ketiga-tiga responden ditangkap hari itu juga dan pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 23 Disember 1988. Perbicaraan bermula pada 25 Februari 1989 dan perintah pembebasan dibuat pada 22 Mei 1990. Jadi Akta A725 mula berkuatkuasa selepas tarikh kesalahan, tangkapan dan kehadiran pertama di mahkamah, dan sebelum perbicaraan dimulakan. Peguam bijaksana berkata bahawa pendakwa raya hanya boleh membuat rayuan dalam kes-kes yang dituduh selepas 10 Februari 1989, iaitu selepas mula berkuatkuasanya Akta A725 yang memberi hak merayu kepada pendakwa raya, sedangkan dalam kes ini ketiga-tiga responden telah dihadapkan ke mahkamah sebelum tarikh itu. Peguam bijaksana tidak mengemukakan apa-apa autoriti bagi menyokong ban.

Saya telah mengarahkan supaya pendengaran rayuan ini diteruskan juga, dan saya akan membuat keputusan tentang bantahan itu selepas itu.

Persoalan yang berbangkit dalam bantahan itu ialah sama ada Akta A725 bersifat retrospektif, iaitu, adakah pindaan yang dibuat olehnya, yang memberi hak merayu kepada pendakwa raya, terpakai bagi sesuatu kes yang telah dibawa ke mahkamah sebelum pindaan itu mula berkuatkuasa.

Dalam kes R v Chandra Dharma1, Lord Alverstone CJ berkata di muka surat 338:

The rule is clearly established that, apart from any special circumstances appearing on the face of the statute in question, statutes which make alterations in procedure are retrospective.


Section #2

Pada pendapat saya perubahan yang dibuat oleh Akta A725 adalah perubahan tentang prosedur, walaupun Akta itu memberikan kepada pendakwa raya hak merayu yang tidak ada padanya sebelum itu. Saya berkata demikian oleh kerana rayuan adalah sebahagian daripada proses untuk mempastikan bahawa hak-hak dan liabiliti-liabiliti seseorang itu dalam sesuatu hal ditentukan secara kehakiman dengan betul. Hak merayu tidak mengubah hak-hak dan liabiliti-liabiliti itu.

Dalam memberi kepada pendakwa raya hak merayu, Akta A725 tidak mengubah hak-hak dan liabiliti-liabiliti seseorang tertuduh juvana tentang kesalahan yang didakwa, tentang hukuman baginya atau tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan pembelaan tertuduh. Undang-undang tentang perkara-perkara itu tidak diubah oleh Akta itu. Akta itu hanya membolehkan pendakwa raya pergi ke mahkamah untuk merayu supaya keputusan tentang perkara-perkara itu dikaji semula.

Oleh kerana pindaan yang dibuat oleh Akta A725 itu bersifat prosedural, pindaan itu adalah beroperasi bagi kes seperti kes ini, di mana perbicaraan belum selesai — bahkan belum bermula pun — apabila hak merayu bagi pendakwa raya mula wujud melalui pindaan itu. Kedudukannya mungkin berlainan jika, misalnya, hak itu mula wujud setelah dibuat keputusan yang dipertikaikan itu, yang mana, dalam kes ini, ialah keputusan membebaskan ketiga-tiga responden.

Dalam keadaan seperti itu bolehlah dikatakan bahawa, menurut undang-undang pada masa itu, apabila mereka dibebaskan mereka telah memperolehi kekebalan daripada tindakan rayuan dan pelepasan mutlak daripada risiko hukuman, yang mana tidaklah seharusnya dinafikan pula melalui pindaan undang-undang selepas itu. Tetapi dalam kes ini, pada masa pindaan itu mula berkuatkuasa, mereka belum lagi selamat, mereka masih lagi menghadapi kemungkinan akan menerima hukuman kerana kesalahan yang dituduh terhadap mereka.

Atas sebab-sebab itu saya memutuskan bahawa pendakwa raya berhak membuat rayuan dalam kes ini. Sekarang saya berpaling kepada rayuan itu sendiri.

Pemeriksaan saksi-saksi pendakwa telah dijalankan pada 16 Mei, 13 Julai, 9 September dan 16 September 1989. Dalam tiga hari pertama, empat saksi selesai diperiksa, iaitu dua orang pegawai polis dan dua orang yang dikatakan mangsa responden. Pada 16 September pegawai penyiasat mula memberi keterangan.

Semasa pegawai itu dalam pemeriksaan utama, pegawai pendakwa memohon untuk mengemukakan pernyataan beramaran responden ketiga. Satu perbicaraan-dalam-perbicaraan telah dijalankan, dan pegawai penyiasat meneruskan keterangannya sebagai saksi pertama dalam perbicaraan itu. Kemudian pegawai perakam pernyataan beramaran itu memberi keterangan, diikuti oleh responden ketiga.

Perbicaraan ditangguhkan semasa responden ketiga sedang diperiksa balas oleh pegawai pendakwa dalam perbicaraan-dalam-perbicaraan itu. Kes ditangguhkan ke 25 November 1989. Tarikh yang agak jauh ke hadapan itu dipilih kerana pegawai pendakwa, ASP Adibah, dikatakan akan bercuti bersalin. Pada 25 November 1989 beliau masih lagi dalam cuti bersalin, dan kes telah ditangguhkan. Kes telah ditangguhkan tiga kali lagi selepas itu, membawa kepada 27 Februari 1990.

Pada hari itu, pegawai pendakwa yang hadir, Insp Sathu Singh, memberitahu mahkamah bahawa ASP Adibah sedang dalam cuti sakit seminggu. Menurut nota keterangan, Insp Sathu Singh berkata: ‘case is at an end cannot now intervene’. Pada fahaman saya maksudnya ialah beliau tidak dapat mengendalikan pendakwaan oleh kerana kes pendakwaan yang dikendalikan oleh ASP Adibah sudah berjalan jauh dan hampir selesai. Kes ditangguhkan ke 19 Mei 1990, tetapi ditangguhkan pula ke 24 Mei 1990 kerana majistret ada mesyuarat.

Pada 24 Mei 1990, Insp Sathu Singh hadir lagi sebagai pegawai pendakwa. Beliau memberitahu mahkamah bahawa ASP Adibah tidak ada di mahkamah — beliau tidak tahu kenapa — dan beliau tidak dapat meneruskan kes itu. Kes ditangguh ke 25 Mei 1990 sebagai penangguhan terakhir.


Pada 25 Mei ASP Adibah tidak hadir juga. Inspektor Sathu Singh berkata beliau tidak dapat menjalankan pendakwaan oleh kerana ianya telah sampai ke peringkat perbicaraan-dalam-perbicaraan. Beliau seterusnya memberitahu mahkamah bahawa pada hari sebelumnya beliau telah meninggalkan pesan di pejabat ASP Adibah bahawa beliau perlu hadir di mahkamah untuk menjalankan pendakwaan.

Salah seorang peguambela kemudiannya memohon kepada mahkamah supaya membuat keputusan berdasarkan segala keterangan yang sudah diambil dan membebaskan ketiga-tiga responden di bawah s 173(f) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) oleh kerana setakat itu saksi-saksi pendakwa tidak dapat mengecam responden-responden sebagai orang-orang yang terlibat dalam perbuatan jenayah yang dikatakan itu.

Seksyen 173(f) berbunyi seperti berikut:

If, upon taking all the evidence hereinbefore referred to, the Court finds that no case against the accused has been made out which if unrebutted would warrant his conviction the Court shall record an order of acquittal.

Section #4

Adalah jelas kepada saya bahawa ini bukanlah kes di mana pihak pendakwa telah menutup kesnya. Ketidakupayaan Insp Sathu Singh menjalankan pendakwaan pada 25 Mei 1990 tidak boleh ditafsirkan sebagai pihak pendakwa menutup kesnya. Ketidakhadiran ASP Adibah pada 24 dan 25 Mei dan ketidakupayaan Insp Sathu Singh meneruskan pengendalian pendakwaan pada tarikh-tarikh itu mungkin mewajarkan teguran terhadap kecekapan jentera pendakwaan, tetapi tidaklah bererti bahawa pihak pentelah menutup kesnya.

Bahawasanya Insp Sathu Singh tidak secara langsung memohon penangguhan sekali lagi pada 25 Mei 1990 tidak juga bererti bahawa pihak pendakwa telah menutup kesnya. Kegagalannya memohon penangguhan mungkin boleh difahami jika diperhatikan bahawa pada 24 Mei majistret sudahpun menetapkan penangguhan pada hari itu sebagai penangguhan terakhir.

Dengan membuat keputusan di bawah s 173(f) sebelum pihak pendakwa menutup kesnya, majistret yang bijaksana itu seolah-olahnya telah memutuskan sendiri bahawa pihak pendakwa hendaklah menutup kesnya. Menurut keputusan Mahkamah Agung dalam kes PP v Zainuddin & Anor2, itu adalah suatu tindakan yang mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk melakukan. Kuasa membuat keputusan di bawah s 173(f) hanya berbangkit setelah mahkamah mengambil ‘all the evidence hereinbefore referred to’, yang mana Mahkamah Agung dalam kes itu mentafsirkan sebagai meliputi juga keterangan yang akan diperolehi sekiranya penangguhan dibenarkan.

Dalam kes itu Mahkamah Agung nampaknya memikirkan tentang situasi di mana kes tidak dapat diteruskan kerana keterangan tertentu tidak dapat diperolehi pada hari perbicaraan yang ditetapkan, tetapi saya berpendapat tidaklah ada bezanya sekiranya pendakwaan tidak dapat diteruskan kerana pegawai pendakwa yang berkemampuan tidak hadir.

Perkataan-perkataan ‘all the evidence hereinbefore referred to’ adalah merujuk kepada keterangan yang disebut dalam s 173(c), iaitu, ‘all such evidence as may be produced in support of the prosecution’. Ini bererti bukan sahaja keterangan yang telah dikemukakan tetapi juga keterangan yang pihak pendakwa masih lagi hendak mengemukakan. Keputusan tunggal yang boleh dibuat di bawah s 173(f) hanyalah keputusan ‘no case’ dan perintah tunggal yang boleh dibuat ialah perintah pembebasan. Adalah jelas daripada seksyen itu, dengan disokong pula oleh kes Zainuddin2 bahawa mahkamah tidak boleh membuat keputusan dan perintah di bawah seksyen itu sebelum pihak pendakwa selesai mengemukakan segala keterangan yang ia ingin mengemukakan, yakni sebelum ia menutup kesnya.

Adalah juga dihujahkan bagi pihak responden-responden bahawa apa yang berlaku dalam kes ini bererti bahawa pendakwa raya tidak lagi berhajat untuk mendakwa mereka, maka s 254(i) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) adalah terpakai. Peruntukan itu, setakat yang relevan, berbunyi seperti berikut:

At any stage of any trial, before the delivery of judgment, … the Public Prosecutor may, if he thinks fit, inform the Court that he will not further prosecute the accused upon the charge and thereupon all proceedings on such charge against the accused shall be stayed and the accused shall be discharged of and from the same.

Jawapan kepada hujah itu mudah sahaja, iaitu majistret yang bijaksana itu telah bertindak di bawah s 173(f) seolah-olah pihak pendakwa telah menutup kesnya, sedangkan pihak pendakwa belum berbuat demikian, dan tidak di bawah s 254(i) atas alasan bahawa pendakwa raya tidak lagi berhajat untuk mendakwa responden-responden. Lagipun s 254(i) tidak terpakai dalam kes ini. Seksyen 254(i) terpakai di mana pendakwa raya telah membuat keputusan dasar untuk tidak lagi mendakwa orang yang berkenaan dan memberitahu mahkamah demikian secara nyata, sedangkan dalam kes ini masalahnya ialah semata-mata masalah tidak dapat meneruskan pendakwaan pada hari yang ditetapkan.

Atas sebab-sebab yang diberikan itu, saya memutuskan bahawa majistret yang bijaksana itu telah silap membuat perintah di bawah s 173(f). Saya mengetepikan perintah itu dan mengarahkan ketiga-tiga responden supaya hadir di mahkamah majistret yang berkenaan pada 19 Julai 1991 untuk sebutan. Oleh kerana Encik Pretam Singh sudah ditukarkan ke Jabatan Peguam Negara dan kes ini sudah jauh berjalan dan tidak sesuai disambung bicara oleh majistret lain, saya mengarahkan supaya kes ini dibicara semula di hadapan majistret mahkamah juvana yang lain. Jaminan adalah seperti dahulu.

Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar mendapat menafaat dari keputusan dan alasan penghakiman kes ini.

2. Selamat Hari Raya Aidil Fitri , Maaf Zahir Batin.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR