FOLLOWERS

Monday 15 November 2010

KES PERTUKARAN AGAMA ANAK : SHARMALA MENDAPAT HAK PENJAGAAN YANG TIDAK SAH !!!!





PUTRAJAYA 12 Nov. - Seorang wanita Hindu gagal meneruskan permohonan untuk merujuk isu perlembagaan bagi mencabar undang-undang syariah dan sivil dalam kes perebutan hak penjagaan dua anaknya hasil perkahwinan dengan bekas suami yang kini beragama Islam.

Ia berikutan keputusan penting Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan bantahan awal Dr. Muhammad Ridzwan Mogarajah, 42, yang mempertikaikan kewajaran tindakan S. Shamala, 38, sedangkan ketiga-tiganya dipercayai berada di Australia.

Mualaf itu turut membantah permohonan tersebut kerana bekas isterinya yang diberikan hak penjagaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menghadapi tindakan menghina mahkamah kerana enggan membenarkannya melawat kedua-dua anaknya sejak enam tahun lalu.

Berikutan keputusan itu, Shamala terlepas peluang untuk mendapat penjelasan berhubung percanggahan undang-undang Islam dan sivil melibatkan pertukaran agama dan hak penjagaan anak, setelah permohonan rujukannya itu ditolak dengan kos.

Isu perlembagaan itu antara lain berkaitan kesahihan pertukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan pihak yang tidak menukar agama.

Ia merupakan isu kepentingan awam melibatkan hak penjagaan anak bagi ibu bapa yang bercerai dalam keadaan seorang daripada mereka bertukar agama.

Keputusan itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; dan Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Bagaimanapun, panel bersidang mencapai pendapat majoriti 4-1 setelah tidak bersetuju dengan Hakim Malanjum yang lebih cenderung memerintahkan Shamala dan dua anaknya hadir ke mahkamah bagi mendengar prosiding itu.

Hakim Malanjum menyatakan, jika ketiga-tiganya gagal hadir dalam tempoh tiga bulan, permohonan tersebut akan ditolak dengan kos.

Ketua Hakim Negara sebaliknya mengembalikan rayuan kedua-dua pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pertikaian mengenai hak penjagaan anak, ke Mahkamah Rayuan.

Hakim Zaki berpendapat, Shamala tidak harus diberi masa kerana dia ternyata mengelak untuk menghadapi tindakan menghina mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Mei 2004 akibat melanggar perintah sementara agar Muhammad Ridzwan diberi hak melawat anak-anaknya.

Pada hemat beliau, Shamala mendapat hak penjagaan secara tidak sah selama enam tahun setelah melarikan anak-anaknya sejak 2004 manakala kedua-dua kanak-kanak itu, J. Saktiwaran dan adiknya, Theiviswaran jika ditanya sekalipun, kemungkinan memilih tinggal bersama ibu mereka.

Hakim Zaki memberitahu, Shamala turut gagal mematuhi perintah mahkamah agar menyerahkan dokumen perjalanan anak-anaknya, sekali gus menunjukkan dia memperoleh kelebihan daripada suaminya secara tidak adil.

''Tindakan memberi masa untuk mendengar permohonan itu akan memberi manfaat kepada Shamala tanpa perlu baginya menunaikan tanggungjawab sedangkan dia boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

''Dengan memberinya peluang sedemikian akan menggalakkan lebih ramai pihak melakukan kesilapan yang membawa kepada tindakan menghina mahkamah, dengan harapan mereka dapat membetulkan kesalahan yang dilakukan,'' ujar Hakim Zaki.

Sementara itu, Hakim Arifin turut sependapat dengan Ketua Hakim Negara atas alasan panel itu tidak akan berlaku adil kepada Muhammad Ridzwan jika permohonan Shamala dibenarkan sedangkan wanita itu jelas enggan mematuhi perintah mahkamah.

Beliau menyatakan, banyak masa berlalu sedangkan Shamala berada di luar bidang kuasa mahkamah menyebabkan tindakan menghina mahkamah tidak dapat dilaksanakan ke atasnya.

''Mahkamah tidak harus dipergunakan oleh Shamala untuk kepentingannya semata-mata. Dengan membenarkannya meneruskan permohonan itu, akan menjadikan hak suaminya di sisi undang-undang hanya bayangan semata-mata, tidak kira siapa yang akan menang,'' ujar beliau.

Sementara Hakim Malanjum dalam penghakimannya menyatakan, isu utama kes itu adalah berkaitan hak penjagaan anak dan ia perlu dipertimbang dengan mengambil kira kebajikan kanak-kanak tersebut.

Menurut beliau, tindakan melarikan dua beradik itu ke luar negara adalah serius dan bukan sahaja menunjukkan Shamala gagal mematuhi perintah mahkamah, malah menidakkan hak bekas suami terhadap anak mereka.

Shamala diwakili oleh peguam Datuk Dr. Cyrus V. Dass manakala Muhammad Ridzwan diwakili peguam Muralee Menon.

Shamala berkahwin dengan Jeyaganesh C. Mogarajah mengikut undang-undang perkahwinan sivil pada 1998 tetapi empat tahun kemudian, Jeyaganesh memeluk agama Islam dengan nama Muhammad Ridzwan Mogarajah.

Muhammad Ridzwan turut menukar agama kedua-dua anak lelaki mereka yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun kepada agama Islam tanpa pengetahuan dan persetujuan Shamala.

Shamala yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu kemudian ke Mahkamah Tinggi dan memperoleh hak penjagaan sementara menyebabkan bekas suaminya memfailkan pula permohonan hak penjagaan (Hadanah) di Mahkamah Syariah.

Muhammad Ridzwan berjaya dalam permohonan itu menyebabkan Shamala dikenakan waran tangkap di bawah undang-undang Islam kerana gagal hadir dan mengemukakan kedua-dua kanak-kanak tersebut.

Pada Julai 2004, Shamala memperoleh hak penjagaan penuh terhadap dua anak lelakinya itu dan diperintah untuk tidak mengajar agama kepercayaannya kepada kedua-dua anaknya itu atau memberi mereka makan babi.

Penghuni Gua : Ambil pengajaran darinya. Kita tunggu perkembangan lanjut kes ini !!!!

1 comment:

  1. mohon dilink kan blog saya
    http://helangbuana.blogspot.com/

    ReplyDelete

PETA PELAYAR