FOLLOWERS

Tuesday 15 February 2011

MALAYAN LAW JOURNAL : AGENT PROVOCATEUR !!!!



1996] 3 MLJ 209
Tee Thian See v Pendakwa Raya
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (KUALA LUMPUR) — CRIMINAL APPEAL NO
42–10–94

Judges KC VOHRAH J

Date 14 OCTOBER 1996
Citation [1996] 3 MLJ 209


Catchwords:

Criminal Law — Penal Code (Malaysia) — ss 467,472 — Forgery — Possessing forged credit cards — Essential ingredients of the offence to be proved

Evidence — Agent provocateur — Whether accomplice

Evidence — Corroboration — Agent provocateur — Evidence given by agent provocateur — Whether corroboration necessary

Bahasa Malaysia Summary:

SP17, seorang ejen istimewa di Perkhidmatan Rahsia AS, sedang membuat penyiasatan ke atas sumber di Malaysia berkenaan dengan 28 kad kredit lancung yang dijumpai di AS. Beliau diberitahu oleh New York City Police bahawa SP18, seorang warganegara Malaysia yang menetap di New York, memiliki beberapa kad kredit lancung. SP17 kemudiannya mula berbaik dengan SP18. Menurut SP18, perayu (‘tertuduh’) telah meninggalkan kad-kad tersebut di pangsapurinya semasa tertuduh melawatnya sebagai tetamu pada bulan September 1990. SP17, SP18, dan pihak polis di Malaysia kemudiannya mengatur untuk memerangkap tertuduh. SP18 menelefon tertuduh di Malaysia dan memesan 30 kad emas dengan harga AS$1000 tiap-tiap satu. Pada bulan Mei 1991, SP18 datang ke Kuala Lumpur.

Pada 8 Mei 1991, tertuduh sampai di hotel di mana SP18 tinggal dengan sebuah kereta. SP18 menaiki kereta itu dan tertuduh terus memandu. Menurut SP18, tertuduh memberikan satu sampul surat mengandungi 28 kad kredit dan slip-slip kertas dengan nombor, jenis kad kredit, dan tandatangan. Apabila kereta itu sampai di hadapan hotel, SP18 memberikan sampul surat itu balik kepada tertuduh, dan SP18 turun dari kereta untuk mendapatkan duit untuk membayar kad-kad itu. Satu pasukan kakitangan polis Malaysia telah memerhati pergerakan tertuduh sejak beliau sampai di hotel sehingga SP18 turun dari kereta. Pihak polis menyekat kereta tertuduh dan menangkap tertuduh.

Pihak polis menjumpai sampul surat mengandungi 28 kad di bawah tempat duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Tertuduh telah dituduh memiliki kad kredit lancung di bawah s 467 Kanun Keseksaan (NMB Bab 45)(‘Kanun tersebut’). Hakim mahkamah sesyen menyabitkan tertuduh dan beliau dihukum empat tahun penjara dan denda RM20,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda. Tertuduh membuat rayuan. Peguam kepada tertuduh mendakwa bahawa SP18 dan SP17 tidak mempunyai kebolehpercayaan kerana komplot mereka yang memutarbelitkan seseorang untuk melakukan jenayah menyebabkan tertuduh melakukan apa yang telah dilakukannya.

Beliau merujuk kepada mereka sebagai rakan sejenayah yang memerlukan sokongan untuk keterangan mereka. Beliau juga berhujah bahawa adalah perlu bagi pihak pendakwa untuk membuktikan bahawa tertuduh berniat untuk menggunakan kad kredit lancung untuk kegunaannya sendiri untuk pemalsuan. Hujah beliau adalah bahawa pihak pendakwa tidak membuktikan bahawa tertuduh akan menggunakan kad-kad itu untuk dirinya sendiri, tetapi sebenarnya menunjukkan bahawa tertuduh bertujuan untuk menjual kad-kad itu kepada SP18.

Diputuskan:
Diputuskan, menolak rayuan itu:

(1) Perkara-perkara yang perlu dibuktikan bagi kesalahan di dalam kes ini adalah : (i) bahawa tertuduh memiliki 28 pelit dan bahawa beliau mengetahui ianya adalah lancung; (ii) bahawa pelit-pelit itu dibuat untuk mengeluarkan teraan; (iii) bahawa pelit itu diniatkan untuk digunakan dengan niat untuk melakukan pemalsuan; dan (iv) bahawa pemalsuan itu boleh disiksa di bawah s 467, iaitu dalam kes ini bahawa pelit itu diniatkan untuk digunakan bagi memalsukan dokumen yang berupa sebagai suatu ‘cagaran berharga’ (lihat ms 216H–I).

(2) Bukti adalah jelas bahawa tertuduh memiliki 28 kad kredit. Bukti adalah sangat jelas bahawa 28 kad kredit itu adalah kad-kad lancung mengikut definisi ‘lancung’ di dalam s 28 Kanun tersebut. Fakta-fakta kes dan juga keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi (SP17 dan SP18) menunjukan bahawa tertuduh mengetahui bahawa kad-kad itu adalah lancung (lihat ms 217A–D).

3) SP17 dan SP18 adalah agent provocateur kerana mereka telah, bersama dengan pihak Polis Malaysia , memasang perangkap ke atas tertuduh. Keterangan daripada agent provocateur bukan keterangan daripada rakan sejenayah dan tidak memerlukan sokongan (lihat ms 217D–I); Teja Singh & Anor v PP [1950] MLJ 71 diikut.
(4) Tiap-tiap 28 kad itu, menurut saksi pakar, boleh digunakan untuk membuat teraan yang kekal bagi butir-butir yang dicetak timbul di atas kertas, slip jualan kredit atau baucar jualan apabila digunakan dengan mesin tera. Oleh itu, perkara di dalam kesalahan itu iaitu pelit-pelit itu dibuat untuk mengeluarkan teraan adalah dibuktikan (lihat ms 218D).

(5) Untuk membuktikan bahawa sesuatu suratan adalah palsu, pihak pendakwa mestilah memberi bukti yang konklusif bahawa suratan itu adalah palsu dalam maksud s 464, dan selanjutnya bahawa ianya dipalsukan dengan niat seperti yang dinyatakan di dalam s 463. Berkenaan dengan tiap-tiap 28 kad kredit lancung itu, perlu ditunjukkan bahawa seseorang mungkin dengan curangnya atau dengan tipuan membuat sesuatu suratan atau sesebahagian suratan atau membuat apa-apa tanda yang menunjukkan sesuatu suratan telah disempurnakan (melalui teraan kad itu di atas baucar jualan dan kemudiannya memalsukan tandatangan ke atasnya), dengan niat hendak menyebabkan supaya suratan atau sesebahagian suratan itu dipercayai telah dibuat dengan kuasa seseorang yang olehnya atau dengan kuasanya tidak dibuat (lihat ms 219H–I); Luchmi Singh v Emperor AIR 1917 Pat 111 diikut.

(6) Niat bukanlah pada seseorang yang didapati memiliki meteri, pelit lancung atau lain-lain alat untuk dengan sendirinya menggunakan alat-alat tersebut untuk melakukan pemalsuan; adalah memadai jika niat adalah alat-alat tersebut digunakan oleh sesiapa sahaja untuk melakukan pemalsuan. Adalah tidak perlu bagi pihak pendakwa untuk membuktikan bahawa tertuduh sendiri berniat untuk menggunakan kad kredit lancung untuk pemalsuan (lihat ms 218F–G).

(7) Berkenaan dengan keperluan untuk membuktikan bahawa pelit-pelit itu diniatkan untuk digunakan untuk tujuan melakukan pemalsuan, adalah agak jelas bahawa bagi tiap-tiap 28 kad kredit lancung itu, kepalsuan kad itu adalah (i) ia mendakwa dikeluarkan oleh pengeluar kad berkenaan; (ii) ia mendakwa dikeluarkan kepada seseorang yang dinamakan sebagai pemegang kad itu; (iii) ia mendakwa dikeluarkan dibawah nombor akaun sebenar pengeluar kad itu; dan (iv) ia mendakwa mempunyai tempoh masa sebenar untuk kegunaannya. Kad dengan semua kenyataan palsu bertujuan untuk digunakan sebagai kad yang sebenar apabila dikemukakan kepada penjual untuk memperolehi barangan dan/atau perkhidmatan daripada penjual (lihat ms 218H–I).

(8) Apabila kad kredit dikemukakan kepada penjual selepas pembelian, kad itu digunakan untuk membuat teraan yang kekal di atas slip jualan kredit atau baucar jualan melalui kegunaan mesin tera. Kad itu digunakan untuk mewujudkan suatu suratan, iaitu baucar jualan. Jika kad lancung digunakan, ia telah mewujudkan suatu suratan palsu. Apabila baucar jualan itu ditandatangani, ia mewujudkan hak undang-undang kepada penjual untuk menerima bayaran dan ini semestinya adalah cagaran berharga dalam maksud s 30 Kanun tersebut (lihat ms 219A dan 220F).]

Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. MLJ adalah dokumen awam. Ia boleh diakses di laman Web Badan Kehakiman Malaysia. Tq .

1 comment:

  1. sangat berguna.sungguh terima kasih. n kes yang menarik dan senang faham^^

    ReplyDelete

PETA PELAYAR