FOLLOWERS

Thursday 9 February 2012

TINDAKAN KARPAL TIDAK WAJAR : YAA HAKIM !!!!


Utusan Malaysia

Tindakan Karpal tidak waja



PUTRAJAYA 8 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak wajar memberi peringatan tegas atau ‘kata dua’ kepada Sultan Perak agar mengikut undang-undang berhubung krisis politik di negeri itu kerana ia jelas melampaui batas peradaban dalam hubungan antara raja dan rakyat.

Tindakan tersebut bukan sahaja mempunyai kecenderungan merendahkan martabat Sultan Perak malah cenderung mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap baginda sebagai raja berperlembagaan.

Demikian penghakiman sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 20 Januari lalu ketika memerintahkan peguam terkemuka itu membela diri terhadap tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Keputusan itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Hakim Ahmad (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dalam penghakiman bertulisnya setebal 105 muka surat menyifatkan, pernyataan Karpal yang meminta Sultan berhenti melantik Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merupakan satu peringatan tegas.

Walaupun Karpal menegaskan ia bukan satu ugutan, pada hemat panel itu, ia merupakan peringatan tegas atau amaran bahawa baginda dikehendaki bertindak dalam lingkungan dan had Perlembagaan Negeri Perak.
Hakim Ahmad menyatakan, pada pendapat mereka, memberi nasihat kepada Sultan berhubung keperluan perlembagaan atau memberikan pandangan undang-undang bahawa baginda telah terkeliru atau tersilap adalah satu perkara yang amat berbeza daripada memberikan satu peringatan tegas kepada Sultan untuk mengikut undang-undang.

Beliau menyatakan, apatah lagi jika peringatan tegas itu diberi secara berulang kali dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat peguam tersebut dengan harapan agar ia disiarkan oleh media.

Peguam terkemuka itu dituduh mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Ujar hakim berkenaan, Karpal mengucapkan kata-kata yang membawa erti bahawa Sultan telah bertindak dengan tidak mengikut perlembagaan yang membawa maksud bahawa Sultan tidak hormatkan undang-undang.

Hakim Ahmad selanjutnya menyatakan, Karpal menyatakan bahawa pemecatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin yang dikatakan menurut Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak adalah jelas ultra vires (melampaui batasan undang-undang) peruntukan tersebut.

Beliau menyatakan, pada hemat panel itu, pengertian terhadap pernyataan Karpal itu apabila diterjemahkan membawa maksud bahawa Sultan yang bertindak mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak sebenarnya tidak tahu bidang kuasa baginda di bawah peruntukan tersebut.

‘‘Atau Sultan tahu bahawa di bawah Perkara 16(6) baginda tidak boleh memecat Menteri Besar tetapi baginda bertindak juga memecat Mohamad Nizar dan sengaja melanggar Perlembagaan Negeri,’’ ujar Hakim Ahmad.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kebencian rakyat terhadap Sultan Perak.

Ujar Hakim Ahmad, sama ada disukai atau tidak, ia cenderung untuk merendah-rendah Sultan Perak dengan mempertikaikan kuasa prerogratif (hak istimewa) baginda yang termaktub di bawah perlembagaan.
Hakim Ahmad selanjutnya menyatakan, dalam mempertimbangkan persoalan sama ada perkataan-perkataan itu menghasut atau tidak, pandangan saksi-saksi yang mendengar perkataan-perkataan tersebut bukan penentunya.

Beliau menyatakan, mahkamah yang mesti memutuskan sama ada perkataan-perkataan itu menghasut atau tidak, seterusnya mesti membuat garisan yang memisahkan pandangan atau komen politik daripada perkataan-perkataan yang menghasut.

Panel bersidang dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tanpa dipanggil membela diri.

Kes itu akan disebut di Mahkamah Tinggi di hadapan hakim yang sama esok bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Karpal didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Penghuni Gua : Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku !!!!!!!!!

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR